Aksi Bernardo Silva (kanan) dalam perlawanan Liga Perdana. FOTO Agensi
Aksi Bernardo Silva (kanan) dalam perlawanan Liga Perdana. FOTO Agensi
Agensi

PEMAIN tengah Manchester City, Bernardo Silva berharap dapat memburu tempat dalam kesebelasan utama pasukan itu apabila berdepan Burnley, di Stadium Etihad, awal pagi Selasa.

Silva, 25, dimasukkan sebagai pemain gantian ketika City kembali menyambung saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Arsenal, 3-0, Khamis lalu.

City ketinggalan 22 mata berbanding pendahulu liga Liverpool dan tidak dapat menafikan bahawa skuad kendalian Jurgen Klopp balak menjulang trofi kejuaraan berkenaan namun City tetap mahu memenangi perlawanan mereka.

Silva pernah mencatat sejarah ketika perlawanan menentang Burnley pada 2017 selepas bos pasukan itu Sean Dyche mendakwa pemain tengah itu sengaja menjatuhkan badan untuk memperoleh penalti.

"Burnley sentiasa memberi tentangan sengit. Kami tahu cara mereka beraksi," kata pemain kebangsaan Portugal itu.

Skuad kendalian Pep Guardiola tampak sudah tewas dalam pemburuan trofi Liga Perdana ketika Liverpool hanya memerlukan dua kemenangan untuk berbuat demikian namun pemain tetap bersemangat meneruskan aksi.

"Kami tidak tahu sama ada pemain kami akan keletihan sedikit selepas perlawanan berdepan Arsenal atau bagaimana saingan dari Burnley, jadi pertembungan ini akan jadi lebih berbeza kali ini.

"Kami beraksi pada tahap yang sangat baik pada Khamis lalu dan diharapkan kami dapat melakukannya sekali lagi.

"Ia sangat pelik kerana perkara yang kami hanya dapat dengar dalam stadium kosong adalah apa yang Pep (Guardiola) jeritkan. Anda dapat mendengar setiap perkataannya.

"Apabila anda bermain di depan 50,000 penonton, anda boleh berpura-pura tidak mendengar apa yang diperkatakan pengurus kepada kamu.

"Kini, ia sangat mustahil. Ia realiti yang berbeza tapi kami faham sebabnya. Apa yang lebih baik bola sepak dapat terus dimainkan semula dan kami harus membiasakan diri dengan suasana itu serta melakukan yang terbaik." kata Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 8:05 PM