KANE penjaring utama Spurs. FOTO Agensi
KANE penjaring utama Spurs. FOTO Agensi
Agensi

HARRY Kane akan membarisi kesebelasan Tottenham menentang Manchester United dalam aksi pertama Liga Perdana yang kembali bersambung selepas dia pulih kecederaan hamstring, menurut pengendali pasukan, Jose Mourinho.

Kane, 26, mengalami kecederaan ketika mereka tewas 0-1 di Southampton pada hari Tahun Baru yang menyebabkan dia terpaksa berehat panjang.

Pada awalnya dia mungkin terpaksa melupakan baki saingan musim ini tetapi pandemik Covid-19 yang memaksa Liga Perdana digantung tiga bulan memberi peluang kepada penjaring utama Spurs itu memainkan peranan penting dalam sembilan perlawanan terakhir mereka.

Moussa Sissoko (cedera lutut) and Son Heung-min (patah lengan) yang turut berdepan kecederaan serius sebelum perintah berkurung kini sedia kembali beraksi.

Ketika ditanya dalam sidang akhbar secara virtual, Mourinho berkata: "Kami ada sedikit lagi masalah kecederaan tetapi kami akan tunggu sehingga esok sebelum menentukan kedudukan pemain terbabit.

"Tetapi mereka yang menjalani pembedahan, Kane, Son dan Sissoko, mereka bertiga telah pulih dan bersedia untuk beraksi.

"Kane tidak bermain lebih enam bulan tetapi proses pemulihannya berjalan lancar. Saya boleh beritahu anda dia tiada masalah dan boleh bermain menentang United.

"Adakah Harry boleh bermain 90, 80, 70, 60 minit? Hanya pada hari perlawanan akan menentukan. Adakah dia pada tahap terbaik? Untuk dia, saya tak tahu. Selama enam bulan tanpa perlawanan tetapi dia tidak berdiam diri dan menunjukkan kemajuan.

"Dia memang pemain profesional yang hebat dan akan turun dalam kesebelasan malam esok." Perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur amat penting buat kedua-dua pasukan dalam mengukuhkan peluang ke Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 11:17 PM