BOLA yang ditangkap Nyland jelas sekali melepasi garisan gol. FOTO AFP
BOLA yang ditangkap Nyland jelas sekali melepasi garisan gol. FOTO AFP
AFP

SYARIKAT yang menguruskan teknologi garisan gol Liga Perdana Inggeris (EPL) meminta maaf selepas gagal mengesan penjaga gol Aston Villa, Orjan Nyland mengeluarkan bola walaupun sudah melepasi garisan ketika mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Sheffield United.

Hawk-Eye berkata, tujuh kamera di Villa Park ketika itu dihalang oleh pemain dan tiang gol apabila sepakan percuma hujung saingan separuh masa pertama oleh pemain United, Oliver Norwood menuju ke dakapan Nyland, yang selepas itu terundur sedikit ke belakang melepasi garisan gol.

Pemain United merayu untuk diberikan gol namun teknologi Hawk-Eye, yang sepatutnya membantu pengadil tidak membenarkan jaringan berkenaan dan ulang tayang Video Bantuan Pengadil (VAR) jelas menunjukkan bola melepasi garisan.

"Tujuh kamera yang diletakkan di tempat duduk penonton sekeliling stadium secara tidak sengaja dihalang penjaga gol, pemain pertahanan dan tiang gol. Masalah seperti ini belum berlaku membabitkan lebih 9,000 perlawanan sebelum ini ketika sistem Teknologi Garisan Gol Hawk-Eye diperkenalkan.

"Sistem berkenaan sudah diuji dan menunjukkan ia berfungsi dengan baik sebelum perlawanan berlangsung mengikut undang-undang IFAB.

"Hawk-Eye meminta maaf kepada EPL, Sheffield United dan semua orang yang terbabit dalam insiden berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 3:36 PM