KEADAAN semasa di negara berkenaan membuatkan Casillas menarik diri menyertai pemilihan RFEF. FOTO AFP
KEADAAN semasa di negara berkenaan membuatkan Casillas menarik diri menyertai pemilihan RFEF. FOTO AFP
AFP

BEKAS ketua pasukan yang membantu Sepanyol menjulang trofi Piala Dunia, Iker Casillas mengumumkan hari ini dia membatalkan hasratnya untuk memburu tempat Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) berikutan krisis Covid-19.

"Saya mahu memaklumkan bahawa saya membuat keputusan untuk tidak membabitkan diri dalam pemilihan RFEF," kata penjaga gol Porto itu dalam media sosial.

Pemain berusia 39 tahun itu berkata, dia menarik diri bagi jawatan tertinggi dalam bola sepak Sepanyol itu adalah disebabkan keadaan sosial, ekonomi dan kesihatan yang terpaksa diharungi negaranya.

Dia berkata, Covid-19 yang menyebabkan lebih 27,000 kematian di negaranya membuatkan dia meletakkann perkara berkaitan pemilihan di kedudukan kedua.

Casillas, yang mengetuai Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2010, sebelum ini mengumumkan niatnya untuk mencabar Presiden RFEF, Luis Rubiales Februari lalu.

Keputusannya itu bakal menyaksikan Rubiales bakal mendapat mandat buat kali kedua menjelang pemilihan yang dijadualkan 17 Ogos depan.

Casillas beraksi 167 kali bersama Sepanyol, juga membantu negara berkenaan muncul juara Euro pada 2008 dan 2012.

Dia melakukan penampilan sebanyak lebih 700 kali dengan Real Madrid dengan membantu kelab berkenaan muncul juara La Liga sebanyak lima kali dan juara Liga Juara-Juara tiga kali, sebelum berpindah ke Porto pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 10:06 PM