AB GHANI HASSAN
AB GHANI HASSAN
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Jangan pandang remeh prosedur standard operasi (SOP) yang sudah ditetapkan, kelak semua pasukan akan terima akibatnya dengan kemungkinan kebenaran awal untuk memulakan sesi latihan ditarik balik.

Itu antara amaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap pasukan Liga Malaysia (Liga M) supaya mengikuti segala SOP yang ditetapkan sebaik sesi latihan bermula nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah meminta setiap pasukan melantik individu yang boleh memantau dan memeriksa supaya segala SOP yang ditetapkan dipatuhi tanpa sebarang masalah.

Malah, MFL juga akan melakukan pemeriksaan mengejut ketika pasukan menjalani sesi latihan demi keselamatan pemain dan pegawai terbabit terjamin menerusi amalan SOP yang sudah diterangkan kepada mereka.

"MFL dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan beberapa kali siri perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi kebenaran supaya latihan pasukan boleh bermula awal.

"Keselamatan ketika sesi latihan adalah tanggungjawab semua dan diharap tiada yang mengambil sikap mudah dengan tidak mengikuti SOP yang sudah ditetapkan.

"Jika tercetusnya penyebaran Covid-19 dalam kalangan pemain, sudah tentu semuanya akan menerima tempias dan usaha untuk saingan Liga M bermula mungkin tidak dapat diteruskan nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ab Ghani sebelum itu mempengerusikan mesyuarat dalam talian bersama setiausaha pasukan Liga M.

Sesi itu membincangkan secara mendalam SOP yang perlu dipatuhi setiap pasukan untuk mengadakan latihan sepertimana yang dibenarkan oleh MKN.

MKN dan KBS mengumumkan keputusan untuk membenarkan semua pasukan kembali memulakan sesi latihan dengan SOP yang ketat mulai 15 Jun ini dan mengikut perancangan jika mendapat kebenaran kerajaan, Liga M dijangka bersambung semula pada September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 6:00 AM