PERTEMBUNGAN Fury (kiri) dan Joshua kemungkinan besar berlangsung di luar UK. FOTO Agensi
PERTEMBUNGAN Fury (kiri) dan Joshua kemungkinan besar berlangsung di luar UK. FOTO Agensi
AFP

PERTEMBUNGAN kali pertama Anthony Joshua bersama Tyson Fury dijangka tidak berlangsung di Britain, umum promoter Eddie Hearn.

Joshua yang juga juara dunia WBA, IBF, dan WBO serta pemegang tali pinggang WBC, Fury secara prinsipal bersetuju untuk beraksi pada 2021.

Namun Hearn tidak percaya kedua-dua petinju Britain itu akan beraksi di depan penyokong sendiri.

Arab Saudi yang menjadi pentas menyaksikan Joshua menewaskan Andy Ruiz Jr pada Disember tahun lalu, menjadi lokasi pilihan untuk pertembungan Joshua-Fury.

Hearn mengakui dia juga mahu melihat perlawanan itu berlangsung di Britain namun faktor kewangan dilihat lebih memihak di negara Timur Tengah atau China.

"Jika kita dapat menganjurkan perlawanan di UK, ia pasti amat menarik tetapi Arab Saudi pastinya berminat dengan perlawanan ini. Kami mempunyai pengalaman menarik ketika pertemuan dengan Andy Ruiz.

"Kami juga menerima tawaran dari China serta beberapa negara lagi di seluruh dunia kerana ia adalah perlawanan terbesar di dalam sukan tinju.

"Tiada negara yang pernah menganjurkan acara utama tidak mahu menganjurkan perlawanan itu.

"Setiap orang memperkatakan mengenai perlawanan akan berlangsung di UK tetapi ia tidak akan berlaku.

"Kami perlu merujuk tawaran untuk perlawanan ini kepada kedua-dua pasukan petinju itu. Ia adalah sukan yang berbahaya, jadi biarkan mereka menentukan bagaimana untuk meraih wang yang banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 10:49 AM