FURY (kanan) dan Joshua bakal menentukan raja heavyweight sebenar. FOTO Agensi
FURY (kanan) dan Joshua bakal menentukan raja heavyweight sebenar. FOTO Agensi
AFP

JUARA dunia heavyweight dari Britain, Anthony Joshua dan Tyson Fury bersetuju pada dasarnya bertarung dalam dua perlawanan 'blockbuster', menurut kedua-dua kem hari ini.

Promoter Joshua, Eddie Hearn berunding dengan pengurusan Fury sejak beberapa minggu lalu dan menurutnya, terma pertarungan telah diatur untuk kedua-dua petinju itu.

Bagaimanapun, tiada kontrak ditandatangani setakat ini tetapi Hearn menjangkakan pemegang tali pinggang WBA, IBF dan WBO, Joshua sedia menentang juara WBC, Fury bagi mengesahkan raja sebenar heavyweight pada 2021.

"Kami mencapai banyak kemajuan. Banyak lagi perlu diatasi, kami mencari venue dan tarikh," kata Hearn kepada Sky Sports.

"Adil saya katakan secara prinsipalnya, kedua-dua petinju setuju dengan dua pertarungan.

"Pada masa sama, ada beberapa perkara perlu diatasi tetapi menuju arah yang betul. Saya yakin kedua-duanya memberi harapan untuk pertarungan itu."

Hearn berkata, pertarungan pertama mungkin berlangsung pada musim panas 2021.

Joshua bakal berdepan petinju Bulgaria, Kubrat Pulev sebelum itu manakala Fury, 31, berentap semula dengan lawan dari Amerika Syarikat, Deontay Wilder.

"Pertarungan terbesar dalam sejarah tinju Britain telah dipersetujui. Dua pertarungan. Tyson Fury menentang Anthony Joshua tahun depan," kata Fury dalam Instagram.

"Saya akan pecahkan muka Deontay Wilder dan selepas itu giliran Joshua tahun depan."

Joshua, 30, pula bersedia menentang Pulev walaupun mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 12:35 PM