MCGREGOR memuatnaik gambar bersama ibunya dengan tertera nota persaraan. FOTO Ihsan Twitter Connor McGregor
MCGREGOR memuatnaik gambar bersama ibunya dengan tertera nota persaraan. FOTO Ihsan Twitter Connor McGregor
Agensi

IA seakan deja vu apabila bekas juara dua divisyen Ultimate Fight Championship (UFC), Conor McGregor, mengumumkan persaraan buat kali ketiga di media sosial.

Selepas penutup UFC 250, McGregor memuatnaik gambar bersama ibunya di Twitter dan mengumumkan persaraan serta berterima kasih kepada peminat di atas semua memori di dalam gelanggang.

"Saya membuat keputusan bersara daripada arena pertarungan. Terima kasih kepada semua di atas kenangan luar biasa. Ini adalah gambar bersama ibu saya di Las Vegas di mana ia adalah salah satu kenangan meraih kejuaraan dunia," katanya.

McGregor kembali ke Octagon Januari lalu untuk pertarungan UFC 246, dengan berjaya menumpaskan Donald 'Cowboy' Cerrone dalam tempoh 40 saat.

Selepas ia adalah kali ketiga McGregor melakukan perkara ini, tidak ramai yang menganggap ia satu persaraan sah, dan merasakan ia lebih kepada tipu helah rundingan bersama UFC.

Selain itu, dua pengumuman sebelum ini juga hanya dilakukan melalui media sosial.

Kali pertama McGregor mengumumkan persaraan pada 2016 ketika perseteruannya bersama Nate Diaz.

Selepas pertarungan ulangan antara kedua-duanya ditarik pada UFC 200 berikutan McGregor tidak muncul pada sesi media, bintang Ireland itu bersara tapi hanya sehari.

Perlawanan berkenaan diadakan pada UFC 202.

Selepas itu McGregor mengumumkan persaraan melalui Twitter pada 2019, sekali lagi disebabkan rundingannya bersama UFC gagal.

Pada masa sama, McGregor dilaporkan berdepan tuduhan pertama daripada dua tuduhan seranga seksual di Ireland.

Jika kali ini ia berkaitan dengan muslihat rundingan, McGregor akan menyertai Jon Jones, Jorge Masvidal dan Henry Cejudo yang menyatakan kekecewaan dengan promosi, lebih tepat lagi ialah mengenai pembayaran sehingga memaksa mereka mengambil keputusan bersara atau minta dilepaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 2:55 PM