PENYOKONG City sudah pasti berdebar menantikan keputusan rayuan kelab kesayangan mereka. FOTO NSTP
PENYOKONG City sudah pasti berdebar menantikan keputusan rayuan kelab kesayangan mereka. FOTO NSTP
AFP

RAYUAN Manchester City berkenaan dengan penggantungan selama dua tahun daripada menyertai saingan Eropah akan didengari oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bermula esok.

City dituduh menyatakan nilai penajaan lebih tinggi untuk menyembunyikan skandal melanggar peraturan kewangan (FFP) Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang serius di antara 2012 hingga 2012 dan mereka juga turut didenda sebanyak £27 juta (RM145 juta).

Kes berkenaan tercetus apabila majalah Jerman, Der Spiegel mengeluarkan beberapa siri emel yang dibocori pada 2018 menunjukkan City menghasilkan pendapatan penajaan tambahan dari sebilangan syarikat dengan pemilik kelab, Sheikh Mansour.

Di bawah pemilikan Sheikh Mansour City berjaya berubah menjadi pasukan yang sentiasa dibayangi musuh sejiran, Manchester United kepada juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan tahun.

Bagaimanapun, pelaburan yang besar terhadap pemain dan pengurus masih belum mampu untuk membolehkan kelab berkenaan meraih trofi sulung Liga Juara-Juara.

City masih lagi bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini dan masih dibenarkan beraksi apabila saingan bersambung Ogos depan tidak mengira sebarang keputusan rayuan.

Bagaimanapun, penggantungan selama dua musim dalam kejohanan berkenaan memberikan tamparan hebat buat kelab berkenaan dari segi prestij, kewangan dan harapan kepada pengurus, Pep Guardiola, pemain utama seperti Kevin de Bruyne serta Raheem Sterling.

"Dua tahun adalah tempoh yang lama. Kalau setahun saya boleh terima lagi," kata De Bruyne kepada Het Laatste Nieuws bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 12:03 PM