HENDERSON berpeluang untuk menjulang trofi EPL musim ini selepas Liverpool semakin hampir meraih kejuaraan. FOTO Agensi
HENDERSON berpeluang untuk menjulang trofi EPL musim ini selepas Liverpool semakin hampir meraih kejuaraan. FOTO Agensi
Agensi

MENJULANG trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa kehadiran penyokong akan memberikan pengalaman yang sangat pelik, jelas ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson.

Liverpool hanya memerlukan enam mata daripada sembilan baki perlawanan untuk muncul juara liga buat kali pertama sejak 30 tahun namun setakat ini masih belum ada tarikh rasmi bila saingan EPL disambung semula selepas ditangguhkan Mac lalu akibat Covid-19.

Penyokong tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan berdasarkan peraturan kerajaan yang memberi lampu hijau untuk penyambungan semula sukan elit.

"Sudah tentu ia akan dirasai sangat berbeza kerana jika anda memenangi apa saja trofi dan menerimanya tanpa kehadiran peminat, ia akan dilihat terlalu pelik.

"Ia masih belum berakhir, kami masih ada kerja perlu dilakukan. Kami mahu menamatkan saingan dengan cemerlang dan pastikan ia berakhir dalam musim yang lengkap.

"Selepas itu, sama ada kami juara atau sebaliknya, diikuti dengan pemberian trofi dan tidak ada penyokong. Anda harus berdepan dengan situasi ini apabila tiba masanya," kata Henderson.

Liverpool memulakan latihan dalam kumpulan kecil minggu lalu dan akan melakukan undian hari ini sama ada akan mengambil langkah seterusnya di namakan 'Project Restart' yang membenarkan pemain terus berlatih dalam secara berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 1:54 PM