CHENG Hoe kekurangan aksi persahabatan menentang lawan lebih handal.
CHENG Hoe kekurangan aksi persahabatan menentang lawan lebih handal.
Firdaus Hashim


PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mungkin terpaksa menjadikan pasukan dari Liga Malaysia (Liga M) sebagai 'sparring partner' untuk persediaan sebelum turun mengharungi aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober ini.

Ia susulan sekatan perjalanan dibuat kebanyakan negara ekoran pandemik Covid-19 ketika ini. Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, walaupun Cheng Hoe ada memohon untuk mengadakan aksi persahabatan di luar, ia mungkin sukar dilaksanakan.

Katanya, setiap negara mempunyai polisi tersendiri terutama dalam isu menerima kunjungan pelawat asing kerana bimbang akan penularan wabak Covid-19 di negara mereka.

"Kami merancang mengadakan beberapa perlawanan pemanas badan, tapi belum dipastikan lagi buat masa ini susulan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

"Kebanyakan negara mengadakan sekatan perjalanan yang menyukarkan kami untuk mengadakan sebarang perlawanan persahabatan.

"Setiap negara mempunyai peraturan tertentu dan mempunyai tahap pelaksanaan yang berbeza-beza bagi mengawal jangkitan Covid-19, dan sudah pastinya kami akan mengadakan perlawanan pemanas badan untuk skuad kebangsaan sebaik keadaan pulih," katanya.

Menerusi jadual dikeluarkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), skuad kendalian Cheng Hoe akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di gelanggang lawan 8 Oktober ini sebelum lima hari kemudian menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Situasi itu sudah pastinya memeningkan kepala Cheng Hoe yang perlu merangka persiapan terbaik.

Skuad negara ketika ini menghuni tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata dan berpeluang cerah mara ke peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 serta pusingan akhir Piala Asia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 9:50 PM