FITRI mendukung Adam (kiri) manakala isterinya bersama Yusuff (kanan).
FITRI mendukung Adam (kiri) manakala isterinya bersama Yusuff (kanan).
Saiful Affendy Sapran

PEMAIN tengah skuad hoki negara, Fitri Saari mengakui hatinya lebih lapang mengharungi Ramadan kali ini selepas beberapa tahun sibuk dengan tugasan bersama skuad kebangsaan.

Jelas Fitri, dia juga dapat merasai nikmat kebahagiaan pada Ramadan kali ini selepas salah seorang anak kembarnya, Muhammad Adam Zafran yang berusia tiga tahun sudah sihat sepenuhnya.

Tiga tahun lalu atau lebih tepat Oktober 2017, Fitri berdepan situasi sukar dalam hidupnya apabila Adam berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan virus pada bahagian paru-paru.

Ketika itu, artikek skuad hoki negara itu berada di Dhaka untuk tugasan Piala Asia tetapi dia sempat pulang seketika bertemu Adam yang baru berusia lima bulan.

Namun hati Fitri masih cekal untuk kembali semula ke Dhaka meskipun ketika itu keadaan Adam masih tidak menentu dan akhirnya dia berjaya membantu skuad negara muncul naib juara selepas tewas di tangan India pada aksi final.

"Alhamdulillah, Adam semakin sihat dan tidak perlu lagi buat rawatan susulan. Cuma sekarang ini dia agak lambat untuk bercakap.

"Tapi saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia sudah sihat dan aktif. Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu, saya banyak luangkan masa bersamanya dan adiknya (Muhammad Yusuff Zahran).

"Sebelum ini jadual saya agak ketat. Ketika Ramadan juga perlu menjalani latihan pada waktu malam, jadi masa untuk beribadat dan bersama anak-anak agak kurang.

"Apabila sambutan Aidilfitri pula, saya terpaksa tinggalkan isteri dan keluarga kerana tugasan bersama skuad negara. Tapi untuk kali ini kami dapat beraya bersama-sama," katanya.

Fitri berkata, masanya kini juga lebih lapang selepas tidak menerima panggilan untuk menyertai kem latihan skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 6:59 PM