Annas Rahmat (belakang, kanan) bersama skuad Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Annas Rahmat (belakang, kanan) bersama skuad Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


BERITA aksi Liga Super bakal disambung amat melegakan buat pemain tengah Melaka, Annas Rahmat namun tekanan tetap dirasainya selepas pemotongan tiga mata skuad terbabit.

Baginya, berada di tiga kelompok teratas liga sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat melegakan namun pemotongan mata berharga berkenaan agak menyedihkan sekali gus meletakkan pasukan terperosok ke tangga ke-11 liga.

Menurutnya, sememangnya dia dan rakan lain amat bersemangat untuk kembali beraksi pada September ini seperti perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas berehat panjang susulan pandemik Covid-19.

Apapun, kedudukan ke-11 liga memberi sedikit kesan kepada mental pemain, namun ianya tidak akan mematahkan semangatnya untuk memastikan setiap baki perlawanan mampu menyumbang mata maksimum.

"Ia penting bagi menebus kehilangan mata terbabit dalam masa sama perlu memenuhi misi penting buat skuad Hang Tuah memperoleh kejayaan yang membanggakan.

"Apa yang pasti ianya perlu menjadi titik berharga positif buat kami untuk tidak lagi tercicir sebarang mata selepas dua kekalahan kepada Felda United dan Pahang selepas memenangi aksi bertemu UiTM FC dan PDRM," kata bekas pemain Negeri Sembilan, Harimau Muda, PKNS dan PJ City itu.

Katanya, sebagai pemain dia sudah pasti tidak sabar untuk bermain selepas rehat panjang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat Covid-19.

Annas berkata, aksi tanpa penonton sememangnya dijangka walaupun amat berbeza jika terdapat kehadiran penyokong, namun situasi berkenaan tetap diharungi dengan misi meraih kemenangan pada setiap perlawanan dalam mendaki semua kedudukan liga.

Apapun, dia juga mengharapkan pasukan berkenaan tidak lagi berhadapan pemotongan mata sebaik saingan bakal dilangsungkan kelak.

Sebelum ini, skuad terbabit menerima tamparan hebat apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan pemotongan tiga mata dikenakan ke atas skuad kendalian Zainal Abidin Hassan yang memulakan saingan Liga Super dengan langkah cemerlang.

Keputusan pemotongan mata itu diputuskan pada mesyuarat Pelesenan Kelab FAM (FIB) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara 'teleconferencing' bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain selepas mendapati MU gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 5:29 PM