FURY (kanan) dan Wilder sudah bertemu dua kali. FOTO Agensi
FURY (kanan) dan Wilder sudah bertemu dua kali. FOTO Agensi
Agensi

BOB Arum menegaskan pertemuan kali ketiga membabitkan Tyson Fury dan Deontay Wilder akan berlangsung tahun ini di sebalik pandemik Covid-19 yang belum reda.

Ketua Pegawai Eksekutif Top Rank itu berkata, pertembungan heavyweight itu mungkin akan berlangsung di luar Amerika Syarikat atau United Kingdom.

Fury dan Wilder kedua-duanya bertemu kali pertama pada Disember 2018 dengan Wilder mengekalkan tali pinggang WBC selepas perlawanan berkesudahan seri yang menyaksikan Fury rebah dua kali.

Fury muncul juara heavyweight dua kali selepas kedua-duanya bertemu semula Februari lalu yang menyaksikan Fury menewaskan Wilder pada pusingan ketujuh di MGM Grand, Las Vegas.

Wilder kemudian menuntut perlawanan ulangan selepas mendakwa kostum yang dipakainya ketika memasuki gelanggang mengurangkan tenaganya ketika beraksi.

Terdapat khabar angin Wilder sedia memberi laluan bagi membolehkan Fury bertemu Anthony Joshua terlebih dahulu namun Arum menafikannya sambil menegaskan perlawanan kali ketiga itu akan berlangsung di venue berbeza.

Bercakap kepada Boxing Scene, Arum berkata: "Kami sudah mempunyai kertas kerja untuk menganjurkan perlawanan di dua buah negara.

"Ketika ini kami sedang merancang untuk melangsungkan perlawanan itu pada suku keempat tahun ini dan ia akan berlangsung d luar Amerika Syarikat dan United Kingdom."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 1:14 PM