GIROUD tiba di pusat latihan Chelsea di Stoke D'Abernon. FOTO AFP
GIROUD tiba di pusat latihan Chelsea di Stoke D'Abernon. FOTO AFP
AFP

PENYERANG Chelsea, Olivier Giroud dan penjaga gol Willy Caballero melanjutkan kontrak sehingga penghujung musim 2020/21, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Giroud, 33, berjaya memikat Frank Lampard apabila menjaringkan gol terakhir untuk Blues ketika mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Everton, Mac lalu sebelum aksi liga dihentikan susulan pandemik Covid-19.

Kontrak pemain antarabangsa Perancis itu sepatutnya berakhir pada hujung musim ini tetapi Chelsea mengambil keputusan untuk melanjutkan kontraknya kepada setahun lagi.

"Saya teruja dapat meneruskan karier bersama Chelsea dan tidak sabar untuk kembali beraksi bersama rakan sepasukan," katanya.

Bekas penyerang Arsenal itu hampir-hampir meninggalkan kelab pada Januari lalu dalam usahanya mendapat tempat untuk skuad kebangsaan di Euro 2020 selepas dibayangi Tammy Abraham yang menjadi pilihan utama Lampard.

Bagaimanapun Giroud diturunkan pada tiga perlawanan terakhir Liga Perdana termasuk meledak gol ketika mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Tottenham, Februari lalu.

"Sejak saya kembali ke Chelsea, Giroud mempamerkan aksi terbaik sebagai seorang pemain profesional," kata Lampard.

Kontrak lanjutan Caballero pula akan menyaksikannya kekal di Stamford Bridge sehingga usia 40 tahun.

Penjaga gawang Argentina itu menggantikan tempat penjaga gol termahal dunia, Kepa Arrizabalaga awal tahun ini selepas beberapa kesilapan dilakukan pemain antarabangsa Sepanyol itu.

"Kita semua sedang melalui tempoh sukar ketika ini, jadi saya berasa bertuah dengan peluang yang diberikan dan amat menghargainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 9:25 AM