PEMENANG jersi kuning, pelumba Team Sapura Cycling, Danilo Celano (dua kiri) bersama barisan pemenang lain pada Majlis Penyampaian Trofi peringkat akhir LTdL 2020 di Langkawi, Februari lalu. FOTO Nuqman Hakim Zubir
PEMENANG jersi kuning, pelumba Team Sapura Cycling, Danilo Celano (dua kiri) bersama barisan pemenang lain pada Majlis Penyampaian Trofi peringkat akhir LTdL 2020 di Langkawi, Februari lalu. FOTO Nuqman Hakim Zubir
Aida Adilah Mat


SELEPAS menutup kejayaan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dengan penuh gemilang rentetan kejayaan pasukan tempatan di siri jelajah berstatus dunia itu, imej penganjur Human Voyage (HV) bakal tercalar.

Selepas tiga bulan penganjurannya, 20 pasukan yang bertanding hingga kini belum menerima sebarang pembayaran wang kemenangan.

Ini bermakna, episod hitam yang sering dikaitkan dengan penganjuran LTdL kerana kegagalan membayar hadiah kemenangan tepat pada masa, kembali berulang.

Pengurus pasukan Sapura Cycling Team (TSC), Sayuti Zahit ketika dihubungi turut memaklumkan perkara yang sama dengan pelbagai tindakan sudah dilakukan namun tiada sebarang maklum balas diterima.

Beliau memaklumkan beberapa pasukan dan pelumba dari luar turut bertanyakan hadiah wang kemenangan mereka yang masih juga belum diterima hingga ke hari ini.

Kata Sayuti yang juga bekas pelumba negara, beliau memberi tempoh seminggu lagi kepada penganjur untuk menjelaskan kemelut ini sebelum membawa perkara itu ke peringkat seterusnya.

"Saya sudah berhubung dengan PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) dan mereka memaklumkan hadiah wang kemenangan itu diuruskan sepenuhnya oleh penganjur.

"Saya juga ada berhubung dengan penganjur mengikut SOP (prosedur operasi standard) iaitu dengan menghantar email dan WhatsApp namun tiada sebarang maklum balas diterima.

"Bagaimanapun dua, tiga hari lalu saya ada berhubung dengan bahagian kewangan dan mereka memaklumkan wang kemenangan sedang diproses namun ketika ditanya bila ia akan dibayar, juga tidak ada balasan diterima," katanya.

Terdahulu pada perlumbaan yang menutup tirai 14 Februari lalu, TSC mencipta sejarah tersendiri selepas menjadi pasukan tempatan pertama muncul juara keseluruhan pada edisi ke-25 LTdL.

Selaku juara, TSC bakal menerima RM141,150 iaitu jumlah wang kemenangan terbanyak diikuti Terengganu Cycling Team meraih RM114,200 dengan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar penganjur adalah RM823,450.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 7:45 PM