KANE bersama jersi kelab Leyton Orient. FOTO Agensi
KANE bersama jersi kelab Leyton Orient. FOTO Agensi
Agensi

HARRY Kane bersetuju menaja jersi Leyton Orient untuk musim 2020/21, umum kelab terbabit semalam.

Penyerang England dan Tottenham, Kane menjaringkan gol profesional pertama ketika dipinjamkan ke kelab itu pada 2011.

Orient seperti kelab lain kini bergelut dengan masalah kewangan susulan pandemik koronavirus dengan Liga Dua turut berdepan masalah untuk menamatkan saingan musim ini.

Kane memilih ucapan terima kasih tertera di atas jersi yang ditujukan kepada wira barisan hadapan di Haven House Children's Hospice dan badan kebajikan kesihatan mental Mind.

10 peratus daripada penjualan jersi terbabit diperuntukkan kepada badan kebajikan.

"Saya lahir dan dibesarkan hanya beberapa batu daripada stadium itu dan saya sangat gembira berpeluang membalas balik jasa kelab yang memberikan saya aksi profesional pertama," kata Kane dalam satu kenyataan.

"Ia juga peluang kepada saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan hadapan dan badan kebajikan yang memberi bantuan dan sokongan ketika saat sukar ini."

Penyerang Tottenham itu beraksi bersama Leyton Orient pada 2011 dan menjaringkan gol profesional pertama ketika menang 4-0 ke atas Sheffield United.

Kane berusia 17 tahun ketika dipinjamkan ke Orient daripada Tottenham dan menjaringkan lima gol dalam 18 penampilan sebelum menyerlah bersama Spurs dan England.

"Kami berterima kasih di atas usaha gigih dan dedikasi barisan hadapan menangani wabak Covid-19 dan ini sebahagian usaha kami membantu badan kebajikan yang berdepan masalah kewangan," kata Ketua Eksekutif Leyton Orient, Danny Macklin.

"Terima kasih Harry di atas sokongan mengagumkan dan sikap pemurahnya - anda adalah contoh kepada sukan moden."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 2:14 PM