AFP

EMPAT pemain Sampdoria yang dijangkiti koronavirus sudah pulih daripada penyakit berkenaan, umum kelab Serie A itu, awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan ringkas, Sampdoria berkata, kesemua pemain itu menjalani dua ujian pantas dan kini negatif Covid-19, hanya seminggu selepas mendedahkan mereka dijangkiti virus.

Samp, Fiorentina dan Torino sebelum ini mengumumkan lapan kes virus dalam kalangan pemain mereka yang menyebabkan musim liga digantung sejak pertengahan Mac lalu dan meragut 31,000 nyawa di Itali.

Pada Ahad lalu, AC Milan memberitahu mereka tidak mengesan sebarang kes baharu dalam kesebelasan utama dan staf, sehari selepas presiden, Paolo Scaroni memberitahu media tempatan beberapa pemain telah pulih daripada wabak itu.

Serie A mahu memulakan kembali saingan liga pada 13 Jun selepas tiga bulan terhenti namun bergantung kepada kelulusan penuh kerajaan Itali.

Semalam, Presiden Jawatankuasa Olimpik Itali, (CONI) Giovanni Malago berkata, dia yakin 99 peratus bahawa liga bakal bermula pada tarikh itu.

Kelab diberi lampu hijau memulakan siri latihan berkumpulan bermula Isnin ini selepas pemain diberikan kebenaran menggunakan fasiliti kelab untuk berlatih sendirian pada awal bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 7:40 AM