MARADONA menyifatkan Carlovich adalah pemain terbaik di dunia. FOTO AFP
MARADONA menyifatkan Carlovich adalah pemain terbaik di dunia. FOTO AFP
AFP

RATUSAN peminat memberi penghormatan terakhir semalam kepada bekas pemain bola sepak Argentina, Tomas 'Triche' Carlovich, yang disifatkan Diego Maradona sebagai pemain terbaik di dalam dunia.

Ketika negara berkenaan masih lagi menjalani perintah berkurung akibat pandemik Covid-19, penyokong tetap memenuhi tempat duduk penonton memakai penutup hidung dan mulut berwarna merah biru, warna rasmi Central Cordoba iaitu kelab di mana Carlovich mencipta nama.

Carlovich meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 74 tahun selepas beliau ditetak di kepala dalam satu insiden rompakan.

Kerandanya diusung ke tengah padang dengan sebiji bola diletakkan di atasnya sebagai tanda selamat tinggal.

Kematiannya mengejutkan dunia bola sepak Argentina, terutama di Rosario, tempat kelahiran Lionel Messi.

Carlovich, yang memilih untuk bermain di kelab-kelab kecil sepanjang kariernya, amat dikagumi Maradona dan beliau pernah menolak tawaran Pele untuk menyertai New York Cosmos pada era 70-an.

Februari lalu, Carlovich bertemu dengan Maradona yang melatih pasukan Gimnasia di Rosario dalam satu perlawanan.

"Trinche, anda lebih hebat daripada saya," kata Maradona ketika menghadiahkan baju ditandatanganinya kepada Carlovich.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 9:22 AM