KENNY (kiri) tidak berminat untuk memberi komen berhubung khabar angin Rexy kembali ke BAM. FOTO NSTP
KENNY (kiri) tidak berminat untuk memberi komen berhubung khabar angin Rexy kembali ke BAM. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menolak dakwaan bahawa badan induk itu berminat untuk mendapatkan semula khidmat bekas jurulatih badminton negara dari Indonesia, Rexy Mainaky yang kini membimbing pasukan kebangsaan Thailand.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, ketika ini BAM tidak berminat untuk memberi komen lanjut berhubung khabar angin yang belum ada kepastian.

Beliau yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABC) semalam berkata, BAM hanya berminat untuk memberi komen kepada sesuatu berita yang sudah ada kesahihannya.

"Berita yang ura-ura ini susah nak komen. Kami lebih suka untuk komen perkara yang ada kepastian.

"Tambah pula saya difahamkan Persatuan Badminton Thailand (BAT) masih nak lanjutkan kontrak beliau tahun depan, jadi buat masa ini kami tak mahu komen lanjut," katanya.

Nama Rexy melonjak kerana kejayaannya membawa beregu badminton negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong meraih emas di Sukan Asia Doha pada 2006.

Dia memilih untuk meninggalkan BAM pada 2012 selepas tujuh tahun bersama badan induk itu.

Rexy yang meraih emas di Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan memenangi gelaran juara dunia pada 1995 bersama Ricky Subagja, berjaya melonjakkan nama badminton Thailand.

Bersama Thailand banyak kejayaan cemerlang dilakarkan antaranya membantu negara itu muncul naib juara Piala Uber di Bangkok, dua tahun lalu.

Kantaphon Wangcharoen menjadi pemain perseorangan lelaki pertama dari negara itu meraih pingat gangsa di Kejohanan Dunia di Basel tahun lalu dengan beregu campuran Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai turut cemerlang apabila menjadi beregu pertama Thailand mara ke perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 8:38 PM