DYBALA mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan kepadanya. FOTO AFP
DYBALA mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan kepadanya. FOTO AFP
AFP

BINTANG Juventus, Paulo Dybala mendedahkan semalam dia sudah pulih sepenuhnya selepas enam minggu dijangkiti Covid-19 namun berita gembira itu dikejutkan dengan Torino mengesahkan seorang pemain mereka diuji positif.

"Ramai orang bercakap mengenai perkara ini beberapa minggu lalu namun saya dapat mengesahkan sudah sembuh sepenuhnya. Terima kasih sekali lagi di atas sokongan anda dan saya masih berasa kasihan dengan mereka yang dibelenggu penyakit ini," kata penyerang berusia 26 tahun dari Argentina itu.

Dybala disahkan positif virus berkenaan pada 22 Mac lalu bersama teman wanitanya, Oriana Sabatini.

Dia adalah salah seorang pemai Serie A disahkan menghidap penyakit berkenaan bersama rakan sepasukannya, Daniele Rugani dan Blaise Matuidi.

Seteru Juventus, Torino mendedahkan seorang pemain yang tidak mahu disebut nama disahkan positif ketika ujian ke atas pemain dan pegawai kelab Serie A sebelum kembali menyambung latihan individu minggu ini.

"Ketika ujian pertama dibuat ke atas pemain Torino FC, seorang pemain disahkan positif. Pemain berkenaan segera dikuarantin dan akan sentiasa dipantau," jelas kelab berkenaan dalam satu kenyataan.

Torino antara kelab yang menyatakan kebimbangan mereka untuk menyambung kembali saingan selepas Covid-19 meragut 30,000 nyawa di Itali. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 9:06 AM