FAIZAL (kiri) menghantar pesanan laksa kepada pelanggan.
FAIZAL (kiri) menghantar pesanan laksa kepada pelanggan.
Malik Muhamad


SELEPAS menunggu tunggakan gaji dengan bekas majikannya, Hanelang FC yang tiada khabar berita, Mohd Faizal Mansor mengusahakan perniagaan laksa penang secara kecil-kecilan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Bekas pertahanan kiri skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak itu berkata, dia menjalankan perniagaan secara 'cash on delivery' (COD) atau bayar selepas terima dan dia sendiri menghantar pesanan kepada pelanggan.

"Saya tiada pilihan lain selain terpaksa melakukan perniagaan secara kecil-kecilan ini bagi menampung perbelanjaan harian keluarga terutama selepas bekas majikan, Hanelang FC masih gagal melunaskan tunggakan gaji sejak lebih dua tahun lalu.

FAIZAL menjual laksa sepanjang Ramadan.
FAIZAL menjual laksa sepanjang Ramadan.

"Sejujurnya perniagaan ini satu-satunya punca pendapatan kami sekeluarga terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan ketibaan Ramadan. Sebelum tempoh PKP ini saya ada juga melakukan kerja sebagai pembantu tukang rumah, tapi kini mengharapkan pendapatan hasil jualan ini semata-mata untuk menyara keluarga selepas arahan kerajaan supaya duduk di rumah," ujarnya.

Faizal yang juga pernah menyarung jersi skuad Sime Darby FC dan DRB Hicom berkata, dalam sehari dia mendapat tempahan antara 40 hingga 50 bungkus laksa di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Tapi kami tidak berniaga hari-hari kerana juadah ini tidak selalunya mendapat tempahan daripada pelanggan, ketika tempoh PKP fasa pertama hingga ketiga saya hanya berniaga secara COD pada hari Isnin dan Khamis sahaja selain ada juga yang datang ke rumah di Kampung Paloh, tapi pada Ramadan ini saya berniaga mengikut tempahan pelanggan.

"Jika ada tempahan daripada pelanggan baharulah saya bersama Isteri, Norazrin Yahya dan adik ipar, Siti Fareha membuatnya. Saya hanya jual RM4 sebungkus manakala kos COD sama sahaja iaitu RM2, namun ada juga langsung tidak ada tempahan," ujar Faizal yang juga abang kepada atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor.

Mengulas mengenai tunggakan gajinya, Faizal mengharapkan akan ada sinar baharu buat dia serta rakan sepasukan dalam skuad itu terutama dalam tempoh PKP.

"Mengenangkan tunggakan gaji selama lapan bulan sejak Mac hingga Oktober 2018, hati menjadi sayu dan hiba lebih-lebih lagi pada bulan Syawal dan umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Justeru tinggi harapan saya merayu sambil mengharapkan pihak berkenaan dapat menyegerakan tunggakan gaji kami kerana itu adalah hutang yang wajib dibayar apatah lagi ketika bulan puasa ini," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 5:53 PM