KANE (kanan) cetus keresahan rakan sepasukan. FOTO AFP
KANE (kanan) cetus keresahan rakan sepasukan. FOTO AFP
Agensi

LUCAS Moura berharap Harry Kane kekal di Tottenham dan mengakui adalah sukar mencari pengganti penyerang itu.

Kane mencetuskan spekulasi bulan lalu selepas berkata dia tidak akan terus bersama Spurs jika kelab tidak menunjukkan peningkatan.

Lucas berkata Kane yang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid sangat penting untuk Tottenham dan dia mahu pemain antarabangsa England itu kekal di kelab Liga Perdana.

"Sukar bercakap mengenai masa depan khususnya rundingan kerana ia keputusan peribadi. Saya pasti pada setiap musim ada sahaja tawaran untuk mendapatkan Harry Kane," katanya kepada Sky Sports.

"Bukan saya membuat keputusan tetapi sudah tentu saya mahu bermain di sisinya musim depan. Saya mahu dia kekal kerana kepentingannya kepada kami dan sukar mencari pemain lain sepertinya.

"Semua orang tahu dia pemain hebat. Dia sangat penting kepada kami, dia penyerang kami dan menjaringkan gol hampir setiap perlawanan. Saya yakin [Jose] Mourinho mahu mengekalkannya. Dia menaruh kepercayaan kepada Kane untuk baki saingan musim ini dan musim depan.”

Liga Perdana musim ini ditangguh bulan lalu susulan pandemik Covid-10 dengan Spurs menduduki tangga kelapan liga dan Lucas tak pasti sama ada perlawanan selamat dilangsungkan walaupun tanpa penonton.

"Saya tak tahu, secara jujurnya. Ia mungkin selamat kerana mungkin saya ada virus tetapi tanpa gejala. Kemudian saya menyentuh rakan sepasukan atau lawan dan virus merebak, kita tak tahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 8:52 AM