RONALDINHO (kiri) bersama kenalannya, Pablo Cesar Morales. FOTO Agensi
RONALDINHO (kiri) bersama kenalannya, Pablo Cesar Morales. FOTO Agensi
Agensi

LEGENDA bola sepak dunia, Ronaldinho membela jambang dan dilihat mampu tersenyum dalam satu rakaman video bersama kenalan barunya di penjara iaitu seorang anggota polis yang didakwa atas kesalahan menerima rasuah daripada pengedar dadah.

Ronaldinho yang kini berusia 40 tahun dan sudah berada di penjara lebih sebulan, dilihat ceria ketika rakaman video itu.

Dia menyampaikan mesej kepada keluarga kenalannya itu yang juga rakan pasukan bola sepaknya di penjara iaitu anggota polis bernama, Pablo Cesar Morales.

“Hai semua, hello kepada keluarga Morales. Saya di sini bersama rakan saya ini yang juga penyerang pasukan.

“Dia beraksi dengan sangat baik. Kami sentiasa bersama-sama dan kami akan turun beraksi lagi dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ronaldinho dilihat berimej kemas dengan jambang yang dipotong rapi serta mengenakan topi.

Rakannya itu, Pablo Cesar adalah salah satu daripada sembilan anggota polis yang ditahan kerana didakwa menerima suapan daripada pengedar dadah selepas satu siasatan pada 2018.

Ronaldinho sudah diberi amaran dia mungkin akan dipenjara selama enam bulan sebelum menunggu keputusan sama ada akan melalui proses perbicaraan selepas memasuki Paraguay menggunakan identiti palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 10:31 PM