RONALDINHO dikatakan sedih tinggal di penjara. FOTO Reuters
RONALDINHO dikatakan sedih tinggal di penjara. FOTO Reuters
Agensi

SEORANG rakan Ronaldinho mendedahkan legenda Brazil itu dilihat sedih memenuhi hukuman penjara ketika ini.

Bekas penyerang River Plate, Nelson Cuevas melawat legenda berusia 39 tahun itu yang didapati bersalah menggunakan pasport palsu untuk memasuki Paraguay.

Cuevas mendedahkan meskipun pemenang Piala Dunia itu nampak terurus di penjara, dia bagaimanapun tidak menunjukkan reaksi seperti kebiasaannya.

“Dia sedih. Harap dia dapat keluar dari penjara secepat mungkin.

“Dia sedih kerana situasi yang melanda dirinya ketika ini. Peguamnya sedang berusaha menguruskan perkara yang lain,” katanya kepada media Argentina.

Ronaldinho serta abangnya, Roberto de Assis kini diletakkan di sebuah unit khas.

Menteri Dalam Negeri Paraguay, Euclides Acevedo menggambarkan tempat yang di duduki Ronaldinho seperti hotel dan bukannya penjara.

Cuevas bersetuju dengan pandangan itu tetapi menegaskan Ronaldinho tidak biasa dengan situasi di situ.

“Tempatnya besar dan dia boleh bermain bola. Dia bersama abangnya disediakan bilik dengan dua tempat tidur,” katanya.

Ronaldinho diberi amaran dia mungkin akan dipenjarakan selama enam bulan selepas ditahan dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 10:31 PM