BERGWIJN  hadapi kecederaan buku lali. FOTO AFP
BERGWIJN hadapi kecederaan buku lali. FOTO AFP
AFP

TOTTENHAM berdepan satu lagi masalah di bahagian jentera serangan apabila pemain Belanda, Steven Bergwijn dijangka berehat panjang selepas mengalami kecederan buku lali kiri.

Bergwijn tercedera ketika seri 1-1 di Burnley, Sabtu lalu yang menyaksikan Spurs terus kemarau kemenangan dalam lima perlawanan terakhir semua kejohanan.

Jose Mourinho sebelum ini mengeluh kekurangan pilihan di bahagian serangan selepas kecederaan Harry Kane, Son Heung-min dan kini berdepan tamparan hebat dengan ketiadaan Bergwijn boleh menjejaskan peluang Tottenham layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Berdasarkan penilaian dan pemeriksaan pasukan perubatan, kami mengesahkan Steven Bergwijn mengalami kecederaan di bahagian buku lali yang agak serius ketika menentang Burnley,” kata Spurs dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

"Pemain Belanda itu akan menjalani proses pemulihan dan kemajuannya akan dipantau sehingga pulih.”

Bergwijn terlepas kunjungan ke Leipzig dalam perlawanan getir yang menyaksikan Spurs perlu mengatasi defisit 0-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 22 tahun itu menjaringkan dua gol dalam tujuh perlawanan sejak berpindah dari PSV Eindhoven, Januari lalu termasuk pada aksi pertama ketika menewaskan Manchester City 2-0.

Kane kembali berlatih semalam tetapi kapten England itu belum boleh beraksi kerana masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan hamstring.

Son turut diketepikan sehingga akhir musim selepas mengalami keretakan tangan kanan.

Tottenham kini di tangga kelapan Liga Perdana, tujuh mata di belakang kelompok empat teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 8:23 AM