Kapten Pasukan Terengganu FC II (TFC II) Bruno Junichi Suzuki (kiri) diasak oleh pemain Perak II, Tarik Isic (kanan) pada saingan Liga Perdana. FOTO Bernama
Kapten Pasukan Terengganu FC II (TFC II) Bruno Junichi Suzuki (kiri) diasak oleh pemain Perak II, Tarik Isic (kanan) pada saingan Liga Perdana. FOTO Bernama
Malik Muhamad


TERENGGANU FC II (TFC II) meneruskan momentum kemenangan selepas berjaya menundukkan Perak II, 2-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Turun dengan kemenangan pada aksi pertama menumpaskan Selangor II, 1-0 minggu lalu, skuad The Turtles kendalian Roshadi Wahab dilihat tampak bergelut untuk mendominasi pada awal permainan.

Sebaliknya Perak yang dibimbing Abu Bakar Fadzim terlebih dahulu mencemaskan benteng tuan rumah menerusi percubaan tepat pemain berjersi no 98, Muhammad Yusof Abdullah pada minit ke-14 yang berjaya ditepis penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Dua minit berselang, giliran pemain import TFC II, Dechi Marcel menguji gawang lawan menerusi tandukan hasil sepakan sudut Amir Ashraf Hussin yang hanya sedikit melepasi pintu gol pelawat.

Pada minit ke-22, percubaan tepat Engku Nur Shakir Engku Yacob hampir memberikan gol buat TFC II, tapi kepantasan penjaga gol, Syafiq Afifi Suhaimi berjaya menggagalkan usaha pemain muda skuad tuan rumah itu.

Usaha berterusan skuad Turtles akhirnya membuahkan hasil apabila kapten, Bruno Suzuki mudah menolak masuk bola pada minit ke-24 hasil hantaran lintang pemain berdarah campuran Malaysia-Indonesia, Dhiyaulrahman Mohd Hasry.

Sedar skuadnya kerap ditekan skuad The Turtles yang dibantu seramai 350 penyokong, Abu Bakar memasukkan tiga pemain baharu pada awal babak kedua bagi mengimbangi corak permainan, namun masih belum mampu menyamakan kedudukan walaupun mendominasi permainan.

Peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-68 menerusi tandukan pemain gantian, Muhamad Nuriqmal Tumin, yang berjaya diselamatkan pemain pertahanan, Aqil Irfanuddin di atas garisan gol ketika penjaga gol sudah tertewas.

Ketika permainan berbaki empat minit sebelum ditamatkan, tuan rumah berjaya menambah jaringan kedua menerusi rembatan pemain tengah, Muhamad Zuasyraf Zulkefle pada jarak 30 meter buat skuad TFC II ceria dengan mengutip enam mata daripada dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 11:15 PM