MAURICIO Nascimento meraikan jaringan kedua ketika perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MAURICIO Nascimento meraikan jaringan kedua ketika perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mempamerkan aksi luar biasa apabila melakar kejutan ke atas Suwon Bluewings selepas menewaskan kelab dari Korea itu 2-1 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

JDT mendahului kelab dari Korea itu 1-0 hasil sepakan penalti Gonzalo Cabrera pada babak pertama tapi anak didik Lee Lim-saeng bangkit menyamakan jaringan di awal babak kedua menerusi gol pemain gantian, Terry Antonis.

Namun Mauricio Nascimento muncul wira buat JDT selepas merentap semangat juang Suwon Bluenwings apabila menjaringkan gol kemenangan tuan rumah sekali gus meraih tiga mata pertama dalam saingan ACL.

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Selatan terpaksa membuat rombakan pada saat akhir selepas kapten Hariss Harun diketepikan akibat mengalami kecederaan ketika sesi latihan terakhir menjelang pertembungan menentang kelab dari Korea itu.

Malah skuad bimbingan Benjamin Mora juga terpaksa melupakan khidmat pemain pertahanan Aidil Zafuan Abd Radzak yang turut mengalami kecederaan ketika aksi menentang Kedah dalam saingan pembuka tirai Liga Super, 28 Februari lalu.

Situasi itu tidak menghalang skuad Harimau Selatan untuk cuba memberi tekanan kepada anak didik Lim-saeng apabila Safawi Rasid berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti pada minit ketiga namun bola rembatan leret begitu lemah dan terus ditangkap kemas penjaga gol, No Dong-geon.

Ketika aksi memasuki minit ke-11, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Iran, Alireza Faghabi selepas Min Sanggi menjatuhkan Diogo Luis Santo di dalam kotak penalti dan Cabrera yang mengambil sepakan itu menyepak bola tepat ke penjuru kanan menewaskan Dong-geon pada minit ke-13.

Pelawat yang tertekan dengan jaringan itu mula menggasak ke kubu tuan rumah untuk memburu gol penyamaan namun paada minit ke-15 peluang terhidang terlepas begitu sahaja selepas bola rembatan Adam Taggart yang tidak di kawal tatkala berada di luar kotak penalti sekadar melepasi palang gol.

JDT seharusnya menambah jaringan pada minit ke-38 selepas tindakan berani Luis Santo yang berjaya melepasi Doneil Henry namun penyerang JDT itu lambat untuk melakukan penyudah biarpun berada di dalam kotak penalti dan Henry bijak menghalang pemain itu.

Yang pasti gol tunggal Cabrera menerusi sepakan penalti menjadi pencetus semangat buat JDT bagi mengharungi babak kedua selepas menamatkan aksi babak pertama dengan mendahului Suwon Bluewings.

Namun JDT gagal mempertahankan gol tunggal itu apabila pelawat bangkit untuk menyamakan jaringan pada minit ke-55 selepas Antonis bertindak melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gawang menyaksikan penjaga gol, Farizal Marlias terpaku melihat bola menerjah jaring.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan kembali menyerlah pada minit ke-73 selepas merobek gawang Suwon Bluewings berpunca daripada bola sepakan lintang Nazmi Faiz Mansor menyaksikan Nascimento menanduk bola kemas menewaskan Dong-geon dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 10:59 PM