KLOPP mengakui marah bukan jalan penyelesaian selepas kalah kepada Watford Sabtu lalu. FOTO REUTERS
KLOPP mengakui marah bukan jalan penyelesaian selepas kalah kepada Watford Sabtu lalu. FOTO REUTERS
AFP

JURGEN Klopp mendedahkan beliau tidak mahu menimbulkan rasa kurang senang ke atas bintangnya selepas mereka tumpas buat kali pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ketika menentang Watford.

Kekalahan mengejut 0-3 Sabtu lalu di Vicarage Road menamatkan pencapaian 44 perlawanan tanpa kalah dan menggagalkan peluang The Reds daripada melakukan rekod baru EPL dengan 19 kemenangan.

Bagaimanapun, daripada menghentam pemain di atas prestasi paling buruk tahun ini, Klopp memberikan gambaran di mana kesilapan yang harus diperbetulkan selepas skuad berkenaan menonton kembali perlawanan berkenaan.

Ketenangan Klopp itu sebagai menghormati apa yang anak buahnya raih tahun lalu iaitu juara kelab dunia dan Eropah.

Pengendali The Reds itu berkata, beliau akan menjadi seorang yang bodoh jika mula mempersoalkan kemampuannya yang sekarang ini berkelebihan 22 mata di puncak liga.

“Saya pernah berasa berang dengan pemain namun saya tidak marah disebabkan perlawanan ini.

“Jika lihat dari segi logik, kalau saya marah disebabkan perlawanan berkenaan seperti mereka sudah kalah 10 perlawanan berturut-turut ia akan kelihatan pelik.

“Saya tidak mahu melakukan seperti itu dan selepas perlawanan saya biasa saja. Saya lebih berminat untuk menyampaikan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

“Jika anda perlu melakukan analisis anda harus lakukannya dengan betul bukan ikut emosi. Hakikatnya memang kami tidak bermain dengan baik. Ia jawapan mudah,” kata Klopp.

Klopp jangka Liverpool akan bangkit semula selepas kekalahan kepada Watford apabila mereka akan bertemu Chelsea hari ini bagi saingan pusingan kelima Piala FA esok.

“Sudah tentu kami mahu bangkit semula. Kami mempunyai sekumpulan pemain yang hebat. Situasi yang kami berdepan sekarang ini sangat istimewa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 10:02 AM