Nazri Abu Bakar


MELAKA tidak cemas tanpa dua tonggak ketika berdepan UiTM FC pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, malam esok.

Penolong Pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsudin berkata, tanpa Curran Lawrance Singh Ferns dan Nurridzuan Abu Hassan (gambar) yang mengalami kecederaan pasukan Hang Tuah tetap dengan misi membawa pulang tiga mata.

Katanya, walaupun ketiadaan dua pemain tengah itu mengurangkan pilihan kepada jurulatih Zainal Abidin Hassan namun pengendali terbabit masih memiliki ramai pemain terbaik dalam skuad berkenaan.

Bagaimanapun, dia juga mengharapkan kedua-dua mereka sempat pulih menjelang aksi pertemuan sulung terbabit.

“Apapun kami hadir ke Shah Alam untuk meraih mata maksimum walaupun menyedari saingan sengit daripada skuad tuan rumah.

“Namun semangat juang tinggi dan komitmen pemain untuk pulang ceria mampu memberi jawapan terbaik sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Malah keserasian skuad yang diketuai bekas kapten kebangsaan Safiq Rahm itu amat memberangsangkan sepanjang aksi pramusim sebelum ini.

Justeru, dia yakin mereka mampu tampil garang untuk memenuhi inspirasi penyokong dan pengikut bola sepak Hang Tuah.

Baginya, walau apapun strategi tuan rumah di bawah bimbingan ketua jurulatih, Frank Bernhardt pemain Hijau Putih perlu membentuk persefahaman jitu untuk tidak pulang hampa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 6:24 PM