MENERUSI undian laman sosial Harian Metro mendapati JDT memperoleh 56 peratus undian berbanding Kedah hanya 44 peratus saja.  FOTO NSTP
MENERUSI undian laman sosial Harian Metro mendapati JDT memperoleh 56 peratus undian berbanding Kedah hanya 44 peratus saja. FOTO NSTP
Syazwan Msar


REKOD cemerlang yang dipegang Juara Liga Super 2019 Johor Darul Ta’zim (JDT) menyebabkan pasukan terbabit menjadi pilihan penyokong bola sepak negara untuk menjulang Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Menerusi undian laman sosial Harian Metro mendapati pasukan berpengkalan di selatan tanah air itu memperoleh 56 peratus undian berbanding Kedah hanya 44 peratus saja.

Undian yang disertai lebih 30,000 pelayar membabitkan tiga plaform iaitu Facebook, Twitter dan Youtube dengan kesemuanya memihak kepada JDT sebagai pasukan pilihan untuk mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih yang dimenangi mereka pada musim lalu.

Rata-rata pelayar melihat barisan pemain JDT yang mantap dan hebat di setiap posisi sekali gus sukar digugat oleh Kedah yang sebelum ini tewas kepada Perak bagi merebut Piala Unity Shield.

Pertembungan antara JDT dan Kedah akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim yang baru sahaja dirasmikan pada Sabtu lalu di mana perlawanan ini akan menjadi aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2020.

Kali terakhir Kedah menjulang trofi Piala Sumbangsih adalah pada tahun 2017, sebelum JDT kekal sebagai juara bertahan.

Kedah layak untuk merebut Piala Sumbangsih 2020 selepas muncul juara Piala FA 2019 apabila berjaya menewaskan Perak pada aksi final hasil jaringan tunggal Mohd Fadzrul Danel bin Mohd Nizam pada masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 8:17 PM