Virgil van Dijk beraksi di Liga Perdana bersama Liverpool. FOTO Agensi
Virgil van Dijk beraksi di Liga Perdana bersama Liverpool. FOTO Agensi
Agensi

LIVERPOOL dilaporkan bersedia mengambil langkah menawarkan kontrak jangka panjang kepada pemain pertahanan Belanda, Virgil van Dijk dengan perjanjian terbaharu bernilai £50 juta (RM267 juta).

Football Insider melaporkan Van Dijk yang menyertai kelab itu dengan perjanjian lima tahun dari Southampton pada Januari 2018, dijanjikan tawaran yang lebih baik dalam tempoh itu.

Gaji terkini pemain itu £125,000 (RM669,232) yang mungkin meningkat sekitar £150,000 (RM803,078) dan tumpuan kepada barisan pertahanan Reds akan lebih terjamin dalam jangka masa panjang di Anfield.

Dipercayai perjanjian terbaharu bagi Van Dijk dilihat sebagai keutamaan kepada pemilik kelab itu selepas menilai impak kuat di barisan pertahanan dengan kehadiran pemain Belanda itu sejak dua tahun lalu.

Penampilan musim pertamanya menyaksikan dia meraih anugerah pemain PFA terbaik tahunan yang tidak dijangka ketika Liverpool menguasai saingan domestik dan Eropah.

Van Dijk beraksi setiap minit dalam musim 2019-20 ketika kelab itu semakin hampir memecah rekod dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Sportsmail mendedahkan minggu lalu, semua pemain yang beraksi dalam Liga Perdana musim ini layak menerima bonus £4 juta (RM21 juta) jika memenangi kejuaraan, yang turut akan dibayar mengikut draf penampilan aksi bersama pasukan.

Skuad utama seperti Van Dijk dijangka memperoleh sekitar £150,000 (RM803,078) berdasarkan bonus kemenangan standard yang diperoleh sepanjang musim.

Bos Liverpool, Jurgen Klopp juga berada dalam senarai menerima bonus khas ketika perjanjian baharu empat tahun setengah yang di tandatangani pada Disember termasuk beberapa insentif prestasi melebihi gaji diterima £15 juta (RM80 juta).

Skuad Liverpool menerima imbuhan £7 juta (RM37 juta) kerana memenangi Liga Juara-Juara musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 10:53 AM