LIRIDON ketika majlis penyerahan MYKAD di Pejabat Pendaftaran Negara Putrajaya baru-baru ini.
LIRIDON ketika majlis penyerahan MYKAD di Pejabat Pendaftaran Negara Putrajaya baru-baru ini.
Syazwan Msar

   

MEMILIKI taraf kewarganegaraan Malaysia bukan tiket kepada pemain naturalisasi untuk mendapat laluan khas membarisi skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi turut akan dinilai berdasar prestasi semasa bagi membolehkannya mewakili negara.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan memberi keistimewaan kepada Liridon dalam skuad Harimau Malaya jika dia gagal bersaing dengan pemain lain untuk memikat jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

“FAM memilih dia berdasarkan prestasi terdahulu yang dipamerkan Liridon selain dia juga memenuhi kriteria ditetapkan iaitu sudah menetap di negara ini selama lima tahun berturut-turut.

“Namun, untuk mewakili Malaysia, prestasi semasa adalah perkara utama yang dititikberatkan dan Liridon perlu berusaha bagi mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Arena Metro semalam melaporkan impian Liridon untuk menjadi pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh semakin hampir apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerima taraf kewarganegaraan Malaysia kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, program pengambilan pemain naturalisasi yang dicetuskan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin diharapkan dapat memantapkan lagi skuad Harimau Malaya selepas ini.

Katanya, FAM akan segera menghantar dokumen rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi mendapatkan kelulusan akhir daripada badan induk dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:10 AM