DATUK Misbun Sidek dilantik Pengarah Teknikal skuad remaja negara Persatuan Badminton Malaysia (BAM). FOTO Owee Ah Chun
DATUK Misbun Sidek dilantik Pengarah Teknikal skuad remaja negara Persatuan Badminton Malaysia (BAM). FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran

   

“SAYA sudah ada tiga pemain nombor satu dunia sebelum ini, jadi tidak salah sekiranya saya mahu mencari pemain yang keempat.”

Demikian tekad Datuk Misbun Sidek yang sangat teruja melahirkan pemain nombor satu dunia keempat di bawah bimbingannya selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara rasmi melantiknya sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan berkuat kuasa serta-merta.

Jelas pengendali berusia 59 tahun itu, impian untuk mendidik pemain negara menjadi nombor satu di dunia adalah cita-citanya sehingga bila-bila.

Sebelum ini Misbun sudah mendidik Rashid Sidek, Roslin Hashim dan Datuk Lee Chong Wei sebagai pemain nombor satu dunia.

Mengulas lanjut pelantikannya itu, Misbun mengakui ia adalah cabaran baharu buat dirinya tetapi pada masa sama mengakui ia tanggungjawab berat.

“Saya memerlukan masa satu atau dua bulan untuk melihat permasalahan yang ada. Mungkin dari aspek modul, teknikal atau jurulatih.

“Jadi, saya perlu masa sedikit sebelum membuat keputusan mengenai struktur baharu yang akan diketengahkan,” katanya pada sidang media semalam.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berkata, ia adalah satu tanggungjawab besar untuk Misbun.

“Kami memberikan beliau mandat untuk membuat penilaian mengenai struktur yang ada ketika ini dan selepas tempoh itu beliau akan cadangkan struktur baharu bagi program pemain remaja.

“Selepas itu, baru kami akan tetapkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kepada Misbun dan pasukannya,” katanya.

Sementara itu, BAM akan terus memantau perkembangan terkini berkaitan koronavirus baharu menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang dijadualkan di Manila, Filipina dari 11 hingga 16 Februari ini.

Risiko pembatalan atau penangguhan kejohanan itu semakin tinggi, dengan kematian pertama direkodkan di Filipina dua hari lalu, selain kerajaan negara itu menyekat kemasukan semua pelancong yang tiba dari China, Hong Kong dan Macau, kecuali warganegara dan penduduk tetap Filipina.

Norza berkata, pada masa ini, tiada keputusan daripada Persekutuan Badminton Asia dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenai kejohanan itu, yang juga kelayakan ke Piala Thomas dan Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark bermula 16 hingga 24 Mei.

“Kita masih menunggu kalau ada apa-apa perubahan. Kalau kerajaan Filipina halang (kemasukan terhadap) warganegara China itu, mungkin akan membabitkan pasukan China, Hong Kong serta Macau.

“Jadi kita akan pantau dengan rapat, sehingga kini semuanya masih asal. Tetapi kita tak tahu jika ada perubahan kerana ia juga membabitkan dasar kerajaan Filipina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:01 AM