PEMAIN JDT ketika berlatih pramusim di UAE.
PEMAIN JDT ketika berlatih pramusim di UAE.
Oleh Firdaus Hashim


SIRI jelajah pra musim Johor Darul Ta’zim (JDT) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bukan sahaja mempersiapkan pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M), malah memberi tempias kepada persiapan skuad Harimau Malaya.

JDT yang baharu sahaja pulang ke tanah air kelmarin selepas mengharungi lima aksi persahabatan di UAE selama dua minggu, dilihat bakal memudahkan tugas pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe apabila turun berdepan UAE dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di negara Asia Barat itu pada 26 Mac ini.

Menurut Cheng Hoe, dengan majoriti kekuatan skuad Harimau Malaya datangnya daripada pasukan JDT, pendedahan awal seperti keadaan cuaca, fizikal dan corak permainan agresif pemain-pemain dari negara Teluk itu dapat memberi kelebihan kepada pasukan Malaysia.

“Ia kita tahu negara-negara Arab biasanya memperagakan corak permainan laju dan agresif. Malah, cuaca panas juga memberi kelebihan kepada mereka apabila bermain di sana nanti.

“Jadi saya melihat persiapan JDT secara kebetulan dapat memberi persediaan terbaik kepada pasukan apabila nak menentang UAE.

“Kita pun bukan ada banyak masa apabila panggilan skuad kebangsaan nanti, jadi latihan mereka (JDT) sedikit sebanyak beri kebaikan dan saya harap pemain dapat menyumbang sesuatu apabila latihan skuad negara bermula nanti,” katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan menamatkan siri jelajah pra musim dengan catatan baik apabila melakar tiga kemenangan daripada lima aksi membabitkan pertemuan dengan beberapa kelab Liga Pro UAE dan kelab Eropah selain turut menguji skuad kebangsaan Turkmenistan.

Skuad negara sebelum ini pernah dimalukan UAE dengan kekalahan besar 0-10 dalam saingan kelayakan sama untuk ke Russia lima tahun lalu.

Berdasarkan kedudukan terkini dalam Kumpulan G, UAE berada di tangga keempat daripada lima pasukan dengan enam mata berbanding skuad Harimau Malaya di tempat kedua dengan sembilan mata.

Kemenangan sememangnya amat ditagih oleh pasukan negara apabila bertemu skuad The Whites sekali gus cuba menamatkan kedudukan di tangga teratas untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 7:01 AM