BERGWIJN  menjaringkan gol pertama Spurs ketika menentang City di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Reuters
BERGWIJN menjaringkan gol pertama Spurs ketika menentang City di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Reuters
AFP

STEVEN Bergwijn menjaringkan gol pada penampilan sulung membantu Tottenham menewaskan Manchester City 2-0 awal pagi tadi sekali gus membuka peluang mencabar kelompok empat teratas Liga Perdana.

Skuad Jose Mourinho hambar pada satu jam pertama tetapi mereka terselamat angkara ketumpulan jentera serangan City dan penjaga gol, Hugo Lloris menyelamatkan penalti Ilkay Gundogan pada babak pertama.

Bagaimanapun, layangan kad merah Oleksandr Zinchenko menukar rentak permainan dengan Spurs menjaringkan gol hasil dua percubaan pertama mereka menerusi Bergwijn dan Son Heung-min.

Kemenangan itu melonjakkan Spurs ke tangga kelima, hanya empat mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea.

Kekalahan keenam City musim ini menyaksikan Liverpool kekal 22 mata di hadapan dan semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan liga 30 tahun.

"Liverpool tidak dapat disekat. Kami keciciran banyak mata dalam banyak perlawanan dan sama juga hari ini,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

"Paling penting berapa banyak gol anda jaringkan dan berapa anda bolos. Kami berusaha beraksi sebaik mungkin dan saya selalu yakin anda boleh menang jika lebih banyak peluang dicipta dan kurang dibolosi. Ia kerap berlaku musim ini dan kami perlu menerimanya.”

Sementara itu, Bergwijn yang ditandatangani awal minggu ini dari PSV Eindhoven bermula cemerlang apabila dia mendada hantaran Lucas Moura dan meledak voli menewaskan Ederson pada minit ke-63.

"Sebagai budak kecil, saya mahu berada di sini dan beraksi di Liga Perdana, jadi menjaringkan gol pada penampilan pertama amat sukar dipercayai,” kata Bergwijn.

Lapan minit kemudian, Spurs melebarkan kedudukan menerusi Son Heung-min yang melepaskan rembatan rendah selepas menerima hantaran Tanguy Ndombele.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 7:36 AM