STATUS Guilherme belum dikeluarkan Fifa.
STATUS Guilherme belum dikeluarkan Fifa.
Syazwan Msar


PENYOKONG bola sepak tanah air perlu menunggu lagi untuk melihat dua pemain naturalisasi Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi beraksi untuk skuad Harimau Malaya apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) masih belum mengeluarkan keputusan berkaitan status mereka.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam apabila pihaknya sudah melengkapkan semua dokumen yang diperlukan oleh badan induk bola sepak dunia itu.

Beliau berkata, kedua-dua pemain berkenaan sudah memenuhi kriteria utama yang ditetapkan iaitu perlu menetap di negara ini sekurang-kurangnya lima tahun selain mempunyai dokumentasi lengkap bagi mengesahkan status kewarganegaraan mereka.

“Sebelum ini, ada beberapa masalah yang dihadapi antaranya tidak cukup lima tahun menetap di negara ini dan dokumentasi tidak lengkap.

“Segala syarat Fifa sudah kita penuhi. Sekarang ini hanya perlu menunggu keputusan daripada badan induk berkenaan saja,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Liridon dan de Paula turut disebut-sebut bakal mengikut jejak Mohamadou Sumareh sebagai tonggak naturalisasi bagi menguatkan lagi barisan skuad Harimau Malaya.

Ketika ini, skuad negara sedang menghadapi pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan sekiranya berjaya muncul juara kumpulan atau menamatkan saingan sebagai empat naib juara terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia sekali gus layak mengisi 12 slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia.

Namun sekiranya gagal, Malaysia akan berentap di pusingan ketiga Piala Asia bagi mencari baki 12 pasukan untuk melengkapkan 24 negara di pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di China pada 2023.

Sementara itu, cabaran lebih getir menanti skuad Harimau Malaya apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) dikhabarkan bakal diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain naturalisasi berasal dari Brazil dan Argentina bagi menghadapi baki perlawanan Kumpulan G itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:10 AM