VARDY menahan kesakitan selepas mengalami kecederaan ketika Leicester menentang West Ham. FOTO Reuters
VARDY menahan kesakitan selepas mengalami kecederaan ketika Leicester menentang West Ham. FOTO Reuters
Reuters

KECEDERAAN kembali menghantui penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL), Jamie Vardy iaitu sebelum aksi separuh masa pertama tamat ketika Leicester City mengalahkan West Ham United 4-1 awal pagi tadi.

Selepas penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (hamstring) dan Marcus Rasford (retak tulang belakang) tidak dapat beraksi dalam tempoh tertentu, ada perbincangan supaya pengurus England, Gareth Southgate cuba untuk memujuk kembali Vardy kembali dari persaraan aksi antarabangsa.

Vardy, yang menjaringkan 17 gol untuk membantu Leicester berada di kedudukan ketiga liga musim ini, dilihat akan menyertai senarai penyerang berdepan masalah kecederaan, sekali gus menyebabkan Southgate kurang pilihan menjelang Euro 2020.

Dalam perlawanan bertemu West Ham itu, Vardy cuba untuk meneruskan permainan dalam kecederaan namun akhirnya terpaksa mengambil keputusan meninggalkan padang.

Ketika tempoh pemulihan masih lagi belum diketahui, namun pengurus Leicester, Brendan Rodgers memberikan berita positif bahawa ia bukanlah kecederaan hamstring.

“Ia bukan kecederaan hamstring yang dialaminya sebelum ini. Saya berharap dalam beberapa hari dia akan sembuh dan kembali cergas.

“Jamie memang tonggak utama pasukan tapi jika ingin berjaya ia sebenarnya membabitkan pasukan bukannya individu.

“Dia tidak beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan pasukan tetap perlu terus beraksi tapi kami mahu dia cergas. Dia seorang pemain yang bagus dan kita harap kecederaan ini tidak serius,” kata Rodgers.

Leicester berjaya mencatat kemenangan hasil dua gol pada separuh masa pertama melalui Harvey Barnes (24’) dan Ricardo Domingos Barbosa Pereira (45’), sebelum West Ham cuba bangkit selepas rehat hasil jaringan penalti Mark Noble (50’).

Bagaimanapun, Ayoze Perez mengesahkan kemenangan Leicester selepas menyumbat dua lagi gol termasuk sepakan penalti minit ke-81 dan satu lagi jaringan dua minit sebelum masa sebenar tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 12:06 PM