SALAH (kanan) membuka tirai jaringan seawal minit keempat di Anfield. — FOTO Reuters
SALAH (kanan) membuka tirai jaringan seawal minit keempat di Anfield. — FOTO Reuters
AFP

JUERGEN Klopp menyanjung Liverpool yang “luar biasa” selepas mereka melengkapkan kalendar setahun tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris apabila pendahulu semasa itu mengatasi Sheffield United 2-0, awal pagi tadi.

Anak buah Klopp melonjak 13 mata di depan pasukan tangga kedua Leicester susulan jaringan penyerang Mesir, Mohamed Salah (minit keempat) dan pemain sayap Senegal, Sadio Mane (m-64) di Anfield.

Kemenangan ke-19 Liverpool dalam 20 aksi liga musim ini melengkapkan 12 bulan menakjubkan buat pasukan yang berada di kemuncak prestasi mereka.

Reds tidak kalah dalam 37 perlawanan liga sejak tewas di Manchester City pada 3 Januari 2019 dan kelihatan jelas mereka akan memenangi kejuaraan Inggeris buat kali pertama sejak 1990.

MANE (kiri) melengkapkan kemenangan bergaya buat Liverpool. — FOTO Reuters
MANE (kiri) melengkapkan kemenangan bergaya buat Liverpool. — FOTO Reuters

Dengan beraksi kurang satu perlawanan untuk mengukuhkan kelebihan mereka, hanya kemerosotan prestasi yang teruk mampu melenyapkan impian Liverpool.

“Ia menjelaskan banyak perkara positif. Saya sudah tidak mempunyai kata-kata mengenainya, ia luar biasa,” kata Klopp.

“Saya terlalu gembira dan amat bangga dengan pemain. Kami tidak boleh memandang remeh perkara sebegini.”

Pemenang 18 aksi terakhir liga di laman sendiri, Liverpool tidak kalah dalam 51 aksi liga utama di Anfield sejak April 2017.

KLOPP (kiri) meraikan kemenangan bersama pemain pertahanan Virgil van Dijk. — FOTO AFP
KLOPP (kiri) meraikan kemenangan bersama pemain pertahanan Virgil van Dijk. — FOTO AFP

Ia juga kemenangan kelima berturut-turut di liga utama tanpa dibolosi – kali pertama mereka melakukannya sejak 2007 – dan mereka melengkapkan lebih banyak hantaran berbanding mana-mana pasukan dalam satu perlawanan era Liga Perdana.

“Cara kami menguasai Sheffield United terlalu luar biasa. Ketika memegang bola kami menakjubkan, kami tenang tapi tetap rancak. Jaringan yang dilakukan amat luar biasa,” kata Klopp.

“Jelas sekali bagus (tidak kalah selama setahun) namun sasaran kami bukan untuk meneruskan rekod ini tapi untuk memenangi perlawanan.”

Selepas kegemilangan 2019 yang menyaksikan Liverpool dinobat juara Eropah dan Piala Kelab Dunia, sasaran berikutnya adalah menamatkan tempoh dua tahun Manchester City sebagai juara selepas tewas tipis musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 7:36 AM