NG Eain Yow
NG Eain Yow
Iskandar Shah Mohamed

JAGUH skuasy kebangsaan, Ng Eain Yow membulat tekad untuk terus meningkatkan prestasi dalam setiap kejohanan yang disertai sekali gus memperbaiki ranking dunianya tahun depan.

Bekas juara remaja dunia yang menghuni ranking ke-31 dunia itu mengakui dirinya kini berada pada tahap terbaik untuk merealisasikan sasaran berkenaan.

“Saya sememangnya mahu menamatkan musim ini dengan menduduki ranking ke-30 namun hanya tersasar satu tangga dan masih amat gembira dengan pencapaian itu.

“Ia turut menjadi penyuntik semangat saya untuk terus bekerja keras menjalani latihan dan menduduki ranking lebih tinggi nanti. Secara keseluruhannya, 2019 adalah tahun yang baik bagi saya,” katanya kepada Arena Metro.

Dalam pada itu, Eain Yow turut berpuas hati dengan pencapaian pasukan negara yang meraih tempat kesembilan pada Kejohanan Skuasy Lelaki Berpasukan Dunia di Washington, Amerika Syarikat, minggu lalu.

“Kami sudah mempamerkan aksi terbaik dan berjaya menewaskan pasukan Australia selain Hong Kong yang juga pilihan keenam kejohanan itu.

“Namun, nasib tidak menyebelahi kami untuk mara ke peringkat seterusnya dan akan meneruskan perjuangan pada musim akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Eain Yow kembali menemui rentak kecemerlangan apabila meraih pingat gangsa pada Kejohanan Skuasy Individu Asia di ibu negara, Mei lalu.

September lalu, pemain berusia 21 tahun dari Kuala Lumpur itu turut meraih kejuaraan Terbuka Malaysia yang juga kejayaan terbesar kariernya setakat ini.

Pencapaian positif itu sudah memadai untuk melonjakkan kedudukan Eain Yow yang menghuni ranking ke-42 dunia tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 6:43 PM