BRENDAN (kanan) beraksi dua musim bersama Perak. — FOTO Eizairi Shamsudin
BRENDAN (kanan) beraksi dua musim bersama Perak. — FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

KETUA pasukan Shahrul Saad optimis Perak mampu menyerlah dalam kancah Liga Malaysia musim depan meskipun kehilangan pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan yang berpindah ke Selangor.

Shahrul berkata, ini kerana ada beberapa pemain muda yang dilihat berpotensi diketengahkan sekali gus mengisi kekosongan ditinggalkan Brendan khususnya di jentera tengah.

“Saya rasa ada yang mampu gantikan Brendan, terutama pemain muda. Mereka akan ambil cabaran ini dan saya amat yakin dengan semangat yang ditunjukkan, mungkin mereka akan lebih menyerlah daripada Brendan.

“Bagi saya juga, keluar masuk (perpindahan) pemain ini perkara biasa untuk setiap pasukan. Kami sentiasa positif, kami masih lagi bersama Perak dan kami akan terus berjuang,” katanya.

Selain itu, Shahrul menyatakan kehadiran penyerang import, Guilherme De Paula dari Brazil juga akan memberi tonik tambahan kepada jentera serangan The Bos Gaurus berbekalkan pengalaman dan ketajamannya di depan gol lawan.

“Saya rasa dia (Guilherme) dah biasa dengan Liga Malaysia. Dia juga menjaringkan banyak gol dengan Kuala Lumpur musim lalu. Saya harap dia dapat teruskan momentum itu bersama Perak pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 9:35 PM