JESUS melayan soalan wartawan di Doha, semalam. — FOTO Reuters
JESUS melayan soalan wartawan di Doha, semalam. — FOTO Reuters
AFP

Impak Juergen Klopp terhadap Liverpool selama empat tahun mengendalikan kelab itu memang transformatif, namun rakan sejawatnya pada final Piala Kelab Dunia awal pagi Ahad ini hanya memerlukan masa singkat untuk mencipta sejarah di Flamengo.

Jorge Jesus hanya dilantik kelab gergasi Rio de Janiero itu Jun lalu, namun kehadiran jurulatih dari Portugal berambut putih dan berusia 65 tahun itu mencuri tumpuan di Brazil.

Beliau pantas membuat impak dan bulan lalu mengemudi kelab paling ramai penyokong di negara itu memenangi Copa Libertadores hanya kali kedua dan kemudian mengungguli kejuaraan Brazil kali pertama dalam sedekad, berakhir 16 mata di depan.

Jesus hanya kalah dua kali dalam 29 aksi liga dan pasukannya kini hanya memerlukan satu perlawanan untuk menjulang Piala Kelab Dunia selepas menewaskan Al Hilal 3-1 Selasa lalu.

Hanya Klopp dan Liverpool mampu menjadi penghalang mereka bagi kejayaan pertama kelab Amerika Selatan dalam pertandingan itu sejak Corinthians menewaskan Chelsea pada 2012.

FLAMENGO mengalahkan Al Hilal dari Arab Saudi pada separuh akhir. — FOTO fifa.com
FLAMENGO mengalahkan Al Hilal dari Arab Saudi pada separuh akhir. — FOTO fifa.com

“Ini perlawanan paling penting dalam karier saya. Ia akan menjadi pelengkap musim Flamengo, final terbesar pernah saya hadapi,” kata Jesus.

Jesus akan mengendalikan perlawanan ke-74 dan terakhir pada 2019, selepas tampil sebagai jurulatih asing bekerja di Brazil dengan meraih kejayaan.

Pemerhati bola sepak Brazil menyedari kejayaan dinikmatinya dengan pendekatan Eropah dan ia akan memberikan mereka keyakinan untuk mengejutkan pasukan Klopp.

“Sudah tentu bersama Jorge Jesus ada pengaruh Eropah, tapi pemain mereka memang berkualiti,” tegas Klopp.

“Jika beliau bukan jurulatih Eropah pun, ia sudah tentu amat sukar. Jorge Jesus seorang yang amat berpengalaman dan amat berjaya di Portugal dan kini di Brazil, jadi kami perlu menghormatinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 11:58 PM