SMITH tak terfikir bertemu pasukan remaja Liverpool pada suku akhir pertandingan besar. — FOTO Reuters
SMITH tak terfikir bertemu pasukan remaja Liverpool pada suku akhir pertandingan besar. — FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Aston Villa, Dean Smith menyatakan kemenangan 5-0 pasukannya pada suku akhir Piala Liga Inggeris ke atas skuad paling muda Liverpool adalah satu daripada perlawanan paling aneh pernah dilaluinya.

Ketika pendahulu Liga Perdana, Liverpool bermain aksi Piala Kelab Dunia 24 jam kemudian di Doha, Villa berdepan kesebelasan utama yang langsung tidak dikenali tanpa seorang pun pemain senior.

Kesebelasan utama Liverpool hanya mempunyai 16 penampilan dalam pasukan utama secara keseluruhan dan mempunyai purata usia 19.4, satu rekod kelab.

Villa sendiri membuat 10 pertukaran daripada pasukan yang tewas di tangan Sheffield United pada aksi Liga Perdana Sabtu lalu, namun tetap diberi tentangan menentang budak Anfield pada malam yang aneh dalam cuaca hujan di Villa Park.

PEMAIN Villa meraikan kemenangan besar di Villa Park. — FOTO Reuters
PEMAIN Villa meraikan kemenangan besar di Villa Park. — FOTO Reuters

“Kami perlu menanganinya secara profesional,” kata Smith, yang mengemudi Villa ke separuh akhir Piala Liga buat kali pertama sejak musim 2012-13.

“Ia perlawanan yang agak pelik, mungkin paling pelik pernah saya hadapi bagi suku akhir satu pertandingan utama.

“Secara teknikal mereka mempunyai beberapa pemain berbakat, secara taktikal berjaya dengan gerakan tersusun dan ada ketikanya mereka berjaya menyukarkan kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 11:00 AM