FOTO AFP
FOTO AFP
AFP

KEDUA-DUA kelab Manchester berharap pertembungan di antara mereka akan memberi dorongan terhadap musim yang hambar apabila City melayan kunjungan United awal pagi esok manakala Liverpool berkunjung ke Bournemouth berharap untuk semakin jauh mendahului puncak Liga Perdana Inggeris.

United meraih kemenangan yang diharapkan buat pengurus Ole Gunnar Solskjaer semalam apabila memberikan kekalahan pertama kepada pengurus baru Tottenham Jose Mourinho ketika pengendali kelahiran Portugal itu kembali ke Old Trafford.

Red Devils sekali lagi bergantung kepada jaringan Marcus Rashford apabila penyerang England itu meledak dua gol untuk mengumpul 12 gol daripada 13 perlawanan buat kelab dan negaranya.

“Dia kuat, mengasak lawan, menyerang tanpa rasa takut,” kata Solskjaer.

“Itulah yang kami mahu, kami mahu melihat pemain menikmati permainan mereka.”

Tidak banyak yang dapat dikecapi peminat United musim ini tetapi kemenangan kelima dalam 15 perlawanan Liga Perdana cukup untuk melonjakkan mereka ke tangga keenam.

Mereka bagaimanapun masih ketinggalan 11 mata berbanding City di tangga ketiga, yang turut bergelut ketika ini.

Skuad Pep Guardiola bagaikan kembali menemui sentuhan asal selepas membelasah Burnley 4-1 awal pagi Rabu dengan Gabriel Jesus yang menggantikan Sergio Aguero yang cedera menjaringkan dua gol.

City hanya tewas sekali dalam enam perlawanan menentang United sejak Guardiola mengambil alih pasukan tiga tahun lalu dan tidak boleh tercicir jika mahu terus mengejar Liverpool untuk merebut gelaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 9:37 AM