VIRGIL van Dijk bersama isteri, Rike Nooitgedagt pada majlis anugerah Ballon d’Or. FOTO AFP
VIRGIL van Dijk bersama isteri, Rike Nooitgedagt pada majlis anugerah Ballon d’Or. FOTO AFP
AFP

VIRGIL van Dijk berkata melihat empat pemain Liverpool berada dalam senarai 10 terbaik ranking Ballon d’Or tahun ini bakal memberi motivasi tambahan buat kelab Anfield itu dalam misi menambah kejayaan di padang musim ini.

“Jelas sekali kami menyerlah musim ini. Kami memiliki lebih ramai pemain dalam senarai pendek jadi semua orang boleh berbangga dengan pencapaian itu,” kata Van Dijk yang tewas kepada Lionel Messi dalam majlis anugerah di Paris awal pagi tadi.

Sadio Mane di tempat keempat, Mohamed Salah kelima, dan penjaga gol Alisson Becker di tempat ketujuh dalam undian oleh wartawan seluruh dunia untuk anugerah yang dianjurkan majalah France Football.

Roberto Firmino, Trent Alexander-Arnold dan Georginio Wijanldum turut dicalonkan selepas menyertai skuad kendalian Juergen Klopp yang menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu.

Lebih menarik, Alisson memenangi anugerah baru Trofi Yashin sebagai penjaga gol terbaik tahunan.

“Saya fikir kami mungkin boleh menambah beberapa pemain tetapi kami menikmati musim luar biasa tahun lalu dan ia sepatutnya memberi motivasi terhadap kami untuk meneruskan apa yang kami lakukan, bekerja lebih keras dan cuba mencapai lebih daripada tahun lalu,” kata Van Dijk.

Liverpool kini lapan mata mendahului Liga Perdana Inggeris, meningkatkan harapan bahawa akhirnya mereka mampu menjulang liga buat kali pertama dalam tempoh tiga dekad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 8:53 AM