Virgil van Dijk menjaringkan gol ketika berdepan Brighton. FOTO Reuters
Virgil van Dijk menjaringkan gol ketika berdepan Brighton. FOTO Reuters
Reuters

LIVERPOOL mengukuhkan kedudukan mereka tatkala penjaga gol utama mereka, Alisson Becker dilayangkan kad merah ketika menewaskan Brighton & Hove Albion 2-1 dan kekal di puncak Liga Perdana Inggeris dengan perbezaan 11 mata.

Terima kasih buat dua jaringan menerusi tandukan daripada pemain pertahanan, Virgil van Dijk.

Liverpool yang menyamai rekod tanpa kalah dalam liga utama daripada 31 perlawanan yang dilakukan antara Mei 1987 dan Mac 1988, memungut 40 mata daripada 14 perlawanan berbanding juara bertahan, Manchester City di tangga kedua dengan 29 mata selepas terikat 2-2 di Newcastle United.

Ia perlawanan yang sukar untuk memastikan kemenangan ke-14 dalam liga perdana di gelanggang sendiri, yang terlepas deretan peluang daripada dua jaringan Van Dijk sebelum dipaksa bertahan pada penghujung aksi.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) mengucapkan tahniah kepada Van Dijk selepas perlawanan. FOTO AFP
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) mengucapkan tahniah kepada Van Dijk selepas perlawanan. FOTO AFP

Pertahanan tinggi lampai dari Belanda mengakui ketiadaan Alisson bagaikan satu tamparan hebat buat pasukan menjelang pertembungan berdepan musuh setempat Everton di gelanggang sendiri pada awal pagi Khamis ini dan turut mengagumi corak permainan Brighton.

“Kami seharusnya melakukan lebih baik,” kata Van Dijk ketika ditemubual BBC.

“Kami meletakkannya dalam situasi itu tetapi ia sudahpun berlaku. Kami harus menerimanya. Ia mengecewakan tetapi kami terus mara sekali lagi.

“Mereka (Brighton) adalah lawan yang bagus. Mereka bermain bola sepak dan berani mengambil risiko. Ia bukan mudah. Kami harus bangkit lebih baik daripada apa yang kami lakukan pada separuh masa kedua tetapi pujian harus diberikan kepada mereka juga.

Van Dijk membuka jaringan pada minit ke 18 menerusi tandukan selepas menerima umpanan Trent Alexander-Arnold dari sepakan percuma di penjuru kanan dan gandingan itu sekali lagi bergabung untuk menghasilkan jaringan kedua enam minit kemudian.

Penjaga gol Brighton, Mat Ryan menafikan rembatan Sadio Mane dengan tampanan baik namun gagal menyelamatkan susulan tandukan jarak dekat berhampiran gol oleh Van Dijk.

Pertahanan tengah Lewis Dunk terlepas dua peluang menjaringkan gol buat Brighton, melakukan rembatan liar ke pintu gol sebelum separuh masa dan tandukannya melepasi palang gol pada minit ke-54.

Detik kemuncak perlawanan hadir apabila Alisson dilayangkan kad merah pada minit ke-77 kerana menampan bola di luar kawasan kotak penalti.

Sementara penjaga gol gantian, Adrian masih terjerit-jerit memberi arahan kepada benteng di luar kotak penalti, Dunk memanfaatkan peluang itu dan melakukan sepakan pantas untuk merapatkan kedudukan jaringan.

Brighton terus memberi tekanan dan Adrian dipaksa bekerja keras menyelamatkan beberapa percubaan ke pintu gol namun usaha berkampung di bahagian pertahanan di Anfield akhirnya membuahkan hasil untuk Liverpool terus mencatat kemenangan pada perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 9:38 AM