FLAMENGO muncul juara kali kedua dalam sejarah. — FOTO EPA
FLAMENGO muncul juara kali kedua dalam sejarah. — FOTO EPA
Reuters

KELAB Brazil, Flamengo muncul juara Copa Libertadores dengan penuh dramatik apabila mereka bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan juara bertahan River Plate 2-1 dengan dua gol lewat Gabriel Barbosa di Lima, awal pagi tadi.

River mendahului menerusi Rafael Borre selepas 14 minit dan kelihatan di ambang merangkul kejuaraan Libertadores kali kelima.

Bagaimanapun, Barbosa, penyerang prolifik dengan nama julukan Gabigol, menampan masuk dari jarak dekat seminit sebelum tamat dan kemudian merembat masuk dari jarak 15 meter untuk memastikan kemenangan pada minit kedua masa kecederaan.

Barbosa kemudian dibuang padang pada minit kelima masa kecederaan selepas pergaduhan yang menyusul apabila pemain River, Exequiel Palacios dilayangkan kad merah.

BARBOSA (kanan) menjaringkan gol kemenangan Flamengo di Stadium Monumental, Lima. — FOTO EPA
BARBOSA (kanan) menjaringkan gol kemenangan Flamengo di Stadium Monumental, Lima. — FOTO EPA

Keputusan itu memberikan Flamengo kejuaraan kedua Libertadores dan bermakna mereka akan mewakili benua Amerika Selatan ke Piala Kelab Dunia di Qatar bulan depan.

“Satu perlawanan yang amat bersejarah dan bermakna,” kata pemain pertahanan Flamengo, Rodrigo Caio.

“Kami tidak pernah berputus asa sepanjang aksi. Kami sedar ia sukar menentang pasukan besar, juara 2018. Kami agak bergelut pada babak pertama tapi kami percaya terhadap diri sendiri.

“Kami gembira melakar sejarah bersama kelab ini, menerusi kemenangan magis ini. Kami harap ia hanya satu permulaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 2:01 PM