NADAL (kiri) dan Granollers meraikan kemenangan ke atas beregu Argentina di Madrid, awal pagi tadi. — FOTO AFP
NADAL (kiri) dan Granollers meraikan kemenangan ke atas beregu Argentina di Madrid, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

RAFAEL Nadal menang dua perlawanan berturut-turut untuk membantu Sepanyol mengatasi Argentina 2-1 sekali gus layak ke separuh akhir Piala Davis berwajah baharu di Madrid, awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia itu membenam Diego Schwartzman 6-1, 6-2 untuk menyamakan kedudukan buat Sepanyol selepas Guido Pella meletakkan Argentina di depan dengan kemenangan 6-7 (3/7), 7-6 (7/4), 6-1 ke atas Pablo Carreno.

Nadal kemudian bergandingan dengan Marcel Granollers untuk mengalahkan Maximo Gonzalez-Leonardo Mayer 6-4, 4-6, 6-3 pada perlawanan beregu mesti menang untuk menyaksikan kemaraan Sepanyol ke separuh akhir menentang Britain.

“Saya bermain baik dalam perseorangan, tapi aksi beregu amat sukar kerana perlawanan sengit,” kata Nadal. “Ia satu kemenangan hebat, tapi kami tidak mempunyai masa untuk meraikannya – kami perlu berehat kerana esok pasti sukar sekali lagi.”

REAKSI Evans selepas memastikan kemenangan Britain pada pertandingan Piala Davis. — FOTO EPA
REAKSI Evans selepas memastikan kemenangan Britain pada pertandingan Piala Davis. — FOTO EPA

Britain pula mara ke separuh akhir dengan kemenangan 2-0 ke atas Jerman.

Andy Murray direhatkan awal pagi tadi namun dia dijangka beraksi pada separuh akhir.

Dengan ketiadaannya Kyle Edmund menewaskan Philipp Kohlschreiber 6-3, 7-5 pada perlawanan pertama sebelum Daniel Evans memerlukan tiga set untuk menundukkan Jan-Lennard Struff 7-6 (8/6), 3-6, 7-6 (7/2).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 12:16 PM