Rayna Ho. FOTO NSTP
Rayna Ho. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed


GIMNAS muda kebangsaan, Rayna Ho berazam membuktikan keupayaannya untuk meraih pingat emas pada penampilan sulungnya di pentas Sukan Sea Filipina, bulan depan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Remaja 2018 itu enggan mensia-siakan peluang menyertai skuad senior dan mahu memperagakan persembahan terbaik di temasya dwitahunan berkenaan.

"Sebagai muka baharu, debaran dan tekanan memang amat dirasai namun saya tidak mahu terlalu memikirkannya.

"Kini, saya hanya perlu kekal fokus dan melakukan yang terbaik untuk meraih pingat sulung peribadi di Filipina nanti," kata gimnas berusia 16 tahun itu.

Rayna berkata, peluang menyertai Kejohanan Gimrama Dunia di Baku, Azerbaijan pada September lalu turut menjadi bekalan berharga buat dirinya untuk memperbaiki prestasi.

"Biarpun tidak meraih pingat, kejohanan itu dianggap pendedahan dan pengalaman bermakna bagi saya untuk bersaing di peringkat antarabangsa," katanya yang sinonim dalam acara apparatus belantan.

Pada Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina tahun lalu, Rayna bersama 12 gimnas dari pelbagai negara yang mewakili pasukan Max Whitlock berjaya meraih perak dalam acara berpasukan gimnastik.

Dia antara 18 atlet yang akan menggalas cabaran Malaysia dalam 16 acara gimnastik di Rizal Memorial Basketball Coliseum, Metro Manila, bermula 1 Disember depan.

Pada edisi di Filipina kali ini, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) optimis mampu mencapai sasaran lima emas iaitu empat menerusi acara individu dan satu bagi kategori latihan berkumpulan.

Untuk rekod, skuad gimrama menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 2:41 PM