Irfan minta tempoh bertenang. FOTO NSTP
Irfan minta tempoh bertenang. FOTO NSTP
Malik Muhamad


BEKAS pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui belum membuat sebarang keputusan mengenai pasukan bakal dibimbingnya musim depan.

Bagaimanapun jurulatih berusia 68 tahun itu mendedahkan sudah ada pasukan berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi mengendalikan skuad berkenaan.

“Setakat ini saya belum milik mana-mana pasukan sama ada dalam saingan Liga Perdana ataupun Liga Super tapi sudah ada beberapa pasukan mahukan khidmat saya.

“Saya minta tempoh bertenang dulu, lagipun pasukan yang berminat untuk dapatkan khidmat saya datangnya jauh dari Lembah Klang,” ujar Irfan.

Irfan sebelum ini memulakan karier sebagai jurulatih bersama pasukan Negeri Sembilan sebelum ke Pulau Pinang, Telekom Melaka dan kelab Liga Indonesia, Persipura Jayapura.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 15 Mei lalu secara mengejut sebagai ketua jurulatih TFC selepas pasukannya dimalukan Petaling Jaya City 3-5 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Ketika membimbing skuad Penyu bermula 2017, jurulatih kelahiran Pulau Pinang itu berjaya membawa pasukan itu kembali bersaing dalam Liga Super 2018 dan muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Sebelum ini bekas pemain Perak dan kebangsaan itu dikaitkan dengan pasukan Kuala Lumpur dan Perak namun ketika diajukan persoalan itu beliau menafikannya.

“Memang benar jika diberi pilihan saya mahu membimbing pasukan sekitar Lembah Klang, tapi setakat ini belum ada sebarang tawaran lagi daripada mana-mana pasukan di sekitar Lembah Klang,” kata Irfan Bakti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:33 PM